Keluarga Altantuya gagal masukkan keterangan kes bunuh dalam saman RM100j

Keluarga Altantuya mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan beliau.

SHAH ALAM: Keluarga Altantuya Shaariibuu gagal untuk memasukkan keterangan dan penghakiman berhubung kes bunuh beliau dalam saman RM100 juta mereka terhadap kerajaan.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang warga Mongolia itu berkata, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak percubaan mereka memasukkan keterangan dalam kes bunuh 2006 itu atas alasan undang-undang melarang keterangan di sebuah mahkamah lain dimasukkan ke dalam prosiding mahkamah yang lain.

“Hakim memetik Seksyen 43 Akta Keterangan yang menyebut penghakiman atau pensabitan di sebuah mahkamah tidak boleh digunakan dalam prosiding berikutannya.

“Ringkasnya, kita perlu membuktikan pembunuhan itu sekali lagi,” katanya kepada pemberita.

Sangeet berkata, keluarga bekenaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu minggu ini, dan menambah perbicaraan kes saman keluarga itu akan bermula 21 Januari tahun depan.

Beliau juga berkata Seksyen 43 Akta Keterangan yang digunakan oleh mahkamah, dilihat sebagai undang-undang lama dan banyak negara telah meminda undang-undang mereka yang melarang penggunaan keterangan mahkamah lepas dalam prosiding berikutnya.

“Sudah tiba masanya Peguam Negara menimbangkan pindaan ke atas Akta Keterangan,” kata Sangeet.

Ketika ditanya mengenai penyiasatan polis ke atas pembunuhan Altantuya, Sangeet berkata tidak ada kemas kini rasmi daripada pihak berkuasa.

“Kami akan buat susulan kerana kami mungkin memerlukan maklumat penyiasatan itu dalam kes saman ini,” katanya.

Ayah Altantuya, Shaariibuu Setev dan ibunya Altantsetseg Sanjaa serta anak beliau memfailkan saman RM100 juta itu pada 2007 terhadap kerajaan, pegawai polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan kesalahan membunuh, serta penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.

Sirul dan Azilah disabitkan membunuh Altantuya, yang dikenali sebagai jurubahasa dan model, oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Mereka berjaya membatalkan sabitan tersebut di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi pada 2015 Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka berdua.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir dibuat. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau.

Razak yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu dibebaskan pada penghujung kes pendakwa.

Mahkamah memutuskan tuduhan ke atasnya tidak dibuktikan dan kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu, langkah yang dikritik banyak pihak.

Kedua-dua Sirul, yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Australia, dan Azilah, yang kini menunggu hukuman mati dijalankan ke atasnya di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Peguam Sirul dan Azilah menarik diri daripada tuntutan sivil tersebut, sementara Razak telah mendapatkan khidmat guaman bagi mencabarnya.