Kemeriahan di Port Dickson ketika PM di luar negara

Tanggal 27 September, New York – Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal bertanding di pilihanraya kecil Port Dickson (PRK PD) 2 hari akan datang akan menjadi perdana menteri seterusnya.

Kenyataan Dr Mahathir sepatutnya menyebabkan PRK PD kurang meriah. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, PRK PD bukan sahaja menjadi meriah tetapi ghairah dan hangat.

Selain PAS yang mengumumkan akan bertanding di PRK PD, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan tiba-tiba turut masuk gelanggang.

Bahkan, Isa sanggup keluar Umno untuk membolehkan beliau bertanding selepas Umno mengeluarkan arahan melarang ahlinya terlibat dengan PRK PD. Bekas naib presiden Umno itu yang juga pengundi di PD menyifatkan tindakan Umno untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen itu sebagai sesuatu yang amat merugikan.

Sebagai anak jati PD, sudah tentu Isa mempunyai sokongan di situ, meskipun nama baik beliau hancur bersama prestasi Felda dan FGV ketika diterajuinya.

Peliknya, semalam tiba-tiba timbul satu berita yang mengaitkan keputusan Isa untuk bertanding dengan nama Dr Mahathir walaupun berita itu sepatutnya tiada kena-mengena dengan Dr Mahathir. Isa menafikan bahawa beliau diarah oleh perdana menteri untuk bertanding di PRK PD.

Persoalannya apa perlunya penafian ini dibuat? Jika wujud persepsi bahawa Isa ini diletakkan oleh Dr Mahathir, bukankah ini sesuatu yang menguntungkan Isa? Sekirannya persepsi ini tidak wujud, mengapa perlu ada penafian itu melainkan ia sememangnya untuk mewujudkan persepsi sebegitu?

Selain Isa, tiada siapa yang menjangkakan kemunculan Saiful di PD. Saiful berkata beliau mahu melangkah ke depan dan jauh daripada kontroversi masa lampaunya bersama Anwar lebih sedekad lalu. Jika benar begitu, mengapa mahu bertanding di PD yang juga ditandingi Anwar?

Sebenarnya kemunculan Saiful akan membawa pelbagai memori ke dalam minda rakyat mengenai kontroversi itu. Mahu atau tidak, kemunculan Saiful menyebabkan kebanyakan berita yang mengulas mengenai PRK PD terpaksa mengungkit nama beliau, yang akan mengamit memori rakyat ke arah kontroversi lampau antaranya dan Anwar.

Saiful juga berkata beliau tidak mempunyai penaja dan tidak didalangi oleh sesiapa. Tetapi siapakah yang menanam idea yang sebegitu kejam untuk membawa kontroversi lampau Anwar dan Saiful ke PRK PD?

Bukan itu sahaja, Umno yang tidak bertanding di PD juga tiba-tiba dilihat sengaja menghangatkan PRK PD dengan catatan yang disebarkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam semalam mengenai satu lagi tuduhan terhadap Anwar ala kontroversi Anwar-Saiful.

Walaupun Lokman telah memadamkan catatannya itu, tetapi tindakan beliau menyebabkan BERITA MediaCorp terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan catatan Lokman itu lalu menjadikan ia lebih tular.

Yang pasti, berita palsu itu akan menambahkan simpati kepada Anwar yang bakal membantu mengurangkan kesan daripada kehadiran Saiful di PD. Persepsinya ialah ia selari dengan matlamat Umno yang enggan bertanding di PD.

Menariknya, semua ini berlaku di PD yang ditandingi Anwar ketika Dr Mahathir masih bertungkus-lumus di luar negara mengharumkan nama negara dengan ucapannya. Menarik politik Malaysia, bukan?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.