Kemuka bukti pengawas undi bagi pihak ahli, JPP beritahu Rafizi

PETALING JAYA: Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR hari ini menggesa calon timbalan presiden Rafizi Ramli menunjukkan bukti memaparkan pengawas JPP mengundi bagi pihak ahli parti.

“Saya percaya pegawai-pegawai saya,” kata Pengerusi Datuk Rashid Din kepada FMT. “Anda bagi bukti, kita tengok.”

Terdahulu, Rafizi menggesa JPP membatalkan keputusan pemilihan PKR di bahagian Labis kerana pengawas JPP didakwa mengundi bagi pihak ahli parti atau mencadangkan ahli parti memilih calon tertentu semasa membuang undi.

Rafizi berkata dia mempunyai “bukti” kejadian tersebut.

Rashid hari ini berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pegawas berkenaan jika dakwaan Rafizi terbukti betul.

“Buat apa nak ambil orang macam itu. Kita dah tekankan anda kena berkecuali, kena telus. Mereka tak sayang parti, mereka ini pengkhianat,” katanya.

Pemilihan PKR kali ini sengit apabila Rafizi dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersaing untuk merebut jawatan timbalan presiden.

Keputusan pemilihan PKR di Johor menyaksikan Azmin mengatasi Rafizi dengan majoriti tipis 827 undi sahaja. Azmin mendapat 5,852 undi diikuti Rafizi hanya mendapat 5,025 undi.

Rafizi dilaporkan akan menghantar laporan lengkap tentang “kemenangan yang meragukan” di Johor.