Kes waris saman tahfiz terbakar dibicara tahun depan

Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengorbankan lebih 20 nyawa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 3 hari bermula 17 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes saman yang difailkan 10 ahli keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat dan 3 bekas pelajarnya terhadap pemilik pusat tahfiz itu serta 4 yang lain.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhayar yang mewakili pemilik pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood dan isteri Samsurini Mohd Anuwi selaku defendan kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye hari ini.

“Kami masih mencari jalan. Hari ini sepatutnya untuk mediasi, namun saya harus akui tidak mudah untuk penyelesaian kerana ia membabitkan penawaran dan permintaan. Oleh itu, selaku pihak defendan kami memohon untuk mendapatkan tarikh perbicaraan penuh iaitu pada 17, 30 dan 31 Mei.

“Pada masa yang sama, kami akan cuba mencari ruang dan peluang untuk mencari satu penyelesaian. Jikalau gagal, maka perbicaraan akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan. Pada masa ini mediasi masih tergantung,” katanya sambil menambah mahkamah menetapkan 3 Dis untuk pengurusan kes.

Pada Jun lepas, semua plaintif memfailkan saman itu terhadap pasangan suami isteri tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan 2 remaja yang merupakan tertuduh dalam kes berkenaan selaku defendan pertama hingga ke-5.

Plaintif mendakwa pasangan suami isteri itu serta MAIWP selaku defendan pertama, ke-2 dan ke-3 melakukan kecuaian sehingga menyebabkan sebahagian pelajar pusat tahfiz berkenaan menjadi mangsa kebakaran dan tidak dapat menyelamatkan diri semasa berlakunya kebakaran pada 14 Sept 2017.

Mereka menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga defendan itu cuai bagi memastikan kewujudan peralatan mencegah kebakaran di tangga jalan keluar pintu asrama pelajar itu, gagal mewujudkan 2 laluan keluar pada bilik asrama dan membenarkan bangunan yang belum memiliki Perakuan Menduduki/Perakuan Siap atau Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) untuk dijadikan asrama pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Plaintif juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga defendan gagal menyediakan asrama tempat tinggal yang selamat sehingga menyebabkan pelajar pusat tahfiz yang terselamat mengalami trauma, kecederaan dan gangguan emosi.

Mereka juga menuntut deklarasi supaya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera serta plaintif-plaintif menerima 100% derma yang didermakan khusus untuk mangsa kebakaran serta menerima 80% daripada derma umum kepada mangsa kebakaran, dengan kedua-dua pembahagiannya tertakluk kepada mekanisme yang ditentukan mahkamah.

Turut dituntut perintah deklarasi bahawa semua sumbangan derma diperoleh pusat tahfiz itu dibahagikan kepada semua waris memandangkan pusat berkenaan tidak didaftarkan sebagai sebuah sekolah yang sah di sisi undang-undang dan perintah injunksi untuk menghalang pasangan suami isteri mengeluarkan atau membelanjakan semua wang derma yang diterima daripada orang ramai.

Plaintif juga menuntut semua defendan membayar ganti rugi kecederaan dan trauma serta gangguan emosi untuk ketiga-tiga bekas pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat, berlaku pada 5.15 pagi, 14 Sept 2017 menyebabkan 21 pelajar dan 2 tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara itu.