KPN: Pegawai pengurus pilihan raya halang Streram masuk pusat penamaan

Fuzi Harun tiba untuk memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya.

SEREMBAN: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu Mahkamah Pilihan Raya bahawa arahan menghalang calon PKR Dr Streram Sinnasamy daripada memasuki pusat penamaan calon pada 28 April dibuat pegawai pengurus pilihan raya.

Ketua polis negara itu berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai bawahannya, ketua polis Negeri Sembilan.

“Ketua polis negeri menerangkan kepada saya dan berkata arahan menghalang calon bagi kerusi itu dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya (Amino Agos Suyub),” katanya kepada mahkamah.

Fuzi berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Streram, pencadang dan penyokongnya dihalang daripada memfailkan borang pencalonan kerana mereka tidak mempunyai pas masuk yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata terdapat persefahaman antara SPR dan pegawai yang bertugas yang menjaga keselamatan semasa proses pencalonan.

Beliau menambah keputusan membenarkan atau menghalang calon, pencadang dan penyokong memasuki pusat penamaan adalah keputusan prerogatif pegawai pengurus pilihan raya.

“Jika pegawai pengurus pilihan raya berkata tidak, polis yang bertugas tidak akan membenarkan mana-mana mereka memasuki pusat penamaan.”

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Hafarizam Harum, Fuzi berkata beliau juga diberitahu tiada calon lain bagi kerusi Parlimen Rembau atau mana-mana kerusi negeri lain dalam kawasan itu dilarang memasuki pusat penamaan.

Hafarizam mewakili Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas menteri besar Negeri Sembilan yang memenangi Rantau tanpa bertanding.

Ketika disoal Sathya Kumardas, peguam yang mewakili SPR dan pegawai pengurus pilihan raya, Fuzi kata polis diberi taklimat sebelum hari penamaan calon.

“Kami diberitahu hanya mereka yang mempunyai pas boleh memasuki pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Sathya bahawa beliau tidak tahu mengenai apa yang berlaku di luar pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau, dan maklumatnya berdasarkan keterangan dan laporan oleh ketua polis negeri.

Beliau menambah beliau tidak tahu mengenai siasatan polis daerah berdasarkan laporan Streram.

Sabtu lalu, pegawai penyiasat Inspektor Azizul Mohd Zakaria memberitahu mahkamah bahawa Agos dan pembantunya Daing Muhammad Rahimi Abdul Hamid tahu Streram berada di pusat penamaan sejak awal pagi untuk menghantar pencalonannya.

Azizul berkata beliau berkata demikian selepas merakamkan kenyataan daripada 27 orang saksi.

“Mereka termasuk anggota polis, kakitangan SPR, agen pilihan raya serta calon Pakatan Harapan,” kata saksi ke-7 untuk Streram.

Pegawai polis itu juga berkata tidak ada undang-undang yang menghalang calon atau ejennya daripada mengemukakan kertas penamaan tanpa pas masuk.

Streram memfailkan tuntutannya pada 23 Mei, mendakwa SPR menafikan haknya untuk bertanding di kerusi Rantau pada pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Beliau meminta pengisytiharan oleh Mahkamah Pilihan Raya bahawa kemenangan Mohammed adalah tidak sah, dan mengadakan semula pemilihan.

Beliau berkata SPR melanggar peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 apabila pegawainya tidak memerintahkan pegawai polis membenarkan beliau, pencadang dan penyokongnya memasuki pusat pencalonan.

Hasilnya, katanya, walaupun beliau layak, beliau dinafikan hak dalam perlembagaan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Agos dijangka memberi keterangan di hadapan hakim Azimah Omar, esok.