Larang ejaan ‘Mohd’ dan ‘Abd’, JPN diingatkan had kuasanya

JPN diberi kuasa untuk tidak mendaftarakan sesuatu nama atas dasar ia dilarang atau tidak sesuai.

PETALING JAYA: Seorang peguam perlembagaan mengingatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya tidak melampaui bidang kuasanya dalam pendaftaran kelahiran selepas jabatan itu berkata sesetengah nama hanya akan dibenarkan didaftar sekiranya ia dieja dengan “betul”.

Nizam Bashir berkata JPN tidak berhak menentukan nama atau nama keluarga seseorang, walaupun ia boleh menolak sesuatu nama jika ia tidak sesuai atau dilarang.

Peguam perlembagaan, Nizam Bashir

Justeru katanya pegawai JPN boleh menolak daripada mendaftarkan sesuatu nama tetapi tidak berhak menentukannya.

“Di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA 1957), kerajaan tidak dibenarkan menentukan nama atau nama keluarga seseorang kanak-kanak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, di bawah Seksyen 16 akta tersebut, ketua pendaftar diberi kuasa untuk tidak mendaftarakan sesuatu nama atas dasar ia dilarang.

Baru-baru ini seorang pegawai kanan JPN dilaporkan berkata jabatan itu tidak membenarkan ejaan nama melebihi 80 aksara, selain melarang penggunaan singkatan ejaan beberapa nama orang Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim berkata, ejaan nama tersebut termasuklah “Abd” dan “Mohd”, yang mesti dieja penuh sebagai “Abdul” dan “Muhammad”.

Nizam berkata ejaan nama “Abd” dan “Mohd” tidak boleh dikategorikan sebagai “tidak sesuai” atau “dilarang”.

Beliau berkata ejaan kedua-dua nama itu mungkin tidak mempunyai apa-apa makna, tetapi mana-mana orang yang waras tahu maksudnya.

“Seseorang yang waras faham makna perkataan itu kerana ejaan nama tersebut telah digunakan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, apa-apa langkah mahu mengehadkan nama atau nama keluarga adalah berlawanan dengan hak kebebasan bersuara ibu bapa seperti dijamin oleh Perkara 10 perlembagaan persekutuan.

Nizam juga berkata panjang sesuatu nama juga subjektif.

“Siapakah yang berhak menentukan ejaan nama tidak boleh melebihi 80 aksara dan apakah alasan di sebalik had itu di Malaysia,” soalnya, dan menambah di Amerika Syarikat, had itu lebih tinggi, seperti 100 aksara di New Hampshire dan 150 di Minnesota.

“Apakah rasional ‘had’ yang ditetapkan itu?,” katanya.

Aktivis hak kanak-kanak Sharmila Sekaran berkata, walapun JPN tidak berhak menentukan nama seseorang, namun terdapat peraturan dan dasar tertentu untuk tujuan praktis.

“Sebagai contoh, ejaan nama tidak boleh melampaui jumlah aksara tertentu kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada pemilik nama itu sendiri.”