Lelaki Malaysia buat filem di Jepun kupas elemen budaya

“Membuat filem untuk menyatukan masyarakat pelbagai negara dalam dunia yang baru”. Inilah hasrat Lim Kah Wai, 45, pembuat filem Malaysia yang berpangkalan di Jepun.

Untuk itu, beliau bertekad untuk terus membuat filem, antaranya filem yang mengupas pelbagai aspek kebudayaan, ketegangan serta kehidupan masyarakat di China, Korea, Jepun serta Eropah.

Lim Kah Wai

“Filem yang saya hasilkan adalah mengenai masalah komunikasi serta ketegangan antara masyarakat Cina, Jepun juga Eropah.

“Terutamanya Jepun. Negara ini kini berada dalam era perubahan daripada sebuah negara konservatif kepada negara yang lebih terbuka dan mampu berintegrasi dengan negara lain, “ beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang sudah 9 tahun berkecimpung dalam industri pembuatan filem baru-baru ini kembali ke tanah air untuk menghadiri Pesta Filem Jepun 2018.

Banyak perubahan

Menurut Lim, banyak perubahan besar berlaku di Jepun memandangkan ia perlu berdepan dengan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia serta kesan akibat krisis ekonomi yang melanda dunia pada penghujung 1990an akibat kejatuhan nilai aset serta pertumbuhan ekonomi yang lembap.

“Saya dapati banyak perkembangan menarik di Jepun sekarang. Itu sebabnya mengapa saya mahu membuat trilogi mengenai 2 filem yang saya hasilkan sebelum ini iaitu mengenai konflik kebudayaan Jepun, Korea dan Cina dengan perubahan ekonomi di rantau itu, “ katanya.

“Trilogi ini dijangka siap tahun depan. Filem saya ini cuba mengupas perubahan serta hubungan antara masyarkat Jepun dan negara Asia Timur sejak saya selesai penggambaran “New World” dan “Fly me to Minami” pada 2013, “ kata Lim.

“New World” dan “Fly me to Minami”, memaparkan lakonan aktor dan aktres Cina, Jepun serta Korea dengan penggambaran utama dibuat di Osaka, Hong Kong serta Seoul. Kedua-dua filem ini ditayangkan sewaktu Pesta Filem Jepun 2018 yang diadakan di Malaysia baru-baru ini.

Menurut Lim yang sudah tinggal dan bekerja kira-kira 25 tahun di Jepun, sewaktu masyarakat Jepun pertama kali menonton “Fly me to Minami” dan “New World”, mereka terperanjat dan sedih memandangkan pada 2012 mereka masih menganggap China sebuah negara miskin.

“Pada masa itu mereka sudah hilang keyakinan dengan kesan kemelesetan ekonomi 1990an. Bagaimanapun saya boleh lihat masyarakat Jepun sudah boleh menerima fenomena ini, “ tambah beliau.

Peningkatan pelancong Cina yang sememangnya semakin mewah berbelanja boleh dilihat di mana-mana ditambah pula dengan ekonomi mantap negara mereka. Semuanya ini dipaparkan dalam filem “New World” di mana penonton boleh melihat sendiri keadaan kawasan setinggan Shinsekai di Osaka berbanding bandar kaya Beijing.

Kisah filem

Filem “New World” mengisahkan pengalaman pelancong dari China di Jepun yang belum pernah ke negara matahari terbit itu. Beliau menghabiskan masa di Osaka yang terkenal dengan sejarah pembangunan pesat pada 1912 dan pembinaan menara Tsutenkaku yang berunsur futuristik dan mengambil contoh Menara Eiffel, Paris yang tersohor.

Malang sekali, kawasan Shinsekai sudah tidak lagi segemilang pada tahun-tahun 1920an. Hari ini, ia lebih merupakan kawasan setinggan untuk gelandangan dan penganggur yang merayau-rayau di taman. Restoran, hotel dan kedai pula kebanyakannya dikendalikan masyarakat Korea dan Cina.

“Berbanding 25 tahun lalu di mana hanya yang kaya berkunjung ke Jepun, kini anda boleh lihat ramai pelancong dari negara Asia Tenggara melawat Jepun kerana ianya lebih murah berbanding pada tempoh tersebut.

“Jepun juga diketahu sebagai tempat yang selamat dan bagus untuk dikunjungi dan harga makanan juga berpatutan. Anda masih boleh beli ramen pada harga yang lebih murah berbanding di Malaysia dan negara lain, “ kata Lim sambil menambah Jepun pernah dikategorikan sebagai negara paling mahal 25 tahun lalu tetapi kos kehidupan lebih murah sekarang.

Bercakap mengenai industri filem di Jepun, beliau berkata kos membuat filem boleh dikatakan lebih rendah berbanding negara lain. Filem yang berbajet sederhana mungkin sekitar AS$500,000.

“Bagaimanapun, sukar untuk mendapat pulangan kerana persaingan sengit. Setiap tahun hampir 1,000 filem dihasilkan di Jepun, kebanyakannya filem animasi yang semakin popular.

“Untuk filem bebas (independent) atau bajet kecil seperti saya, pasaran amat kecil dengan persaingan sengit. Untuk menarik perhatian ramai, perlu ada bajet untuk promosi,” katanya.

Filem rantau Balkan

Tahun lalu, Lim menghasilkan sebuah filem berlatar belakangkan rantau Balkan dengan tajuk “No Where Now Here”. Filem ini gandingan aktor dan aktres bukan profesional di rantau Balkan mengenai kehidupan masyarakat Turki.

“Setiap hari ada juga orang yang menonton filem saya menerusi internet. Inilah cara filem bajet kecil indie dapat bertahan, “ kata Lim.

Lim baharu sahaja habis membuat sebuah lagi filem di rantau Balkan bertajuk “ Somewhen Somewhere” mengenai pengembaraan seorang gadis Asia dari Macau ke rantau itu untuk bercuti.

“Filem ini mengenai konflik kebudayaan dan perbezaan antara rantau Asia dan Balkan dari segi nilai kehidupan serta pemikiran.

“Memandangkan rantau ini memperhebatkan industri pelancongan selepas perang, semakin ramai pelancong ke kawasan berkenaan, “ kata Lim.

Beliau turut menyatakan hasratnya menggunakan media sosial untuk menggalakkan golongan muda terutamanya dari Asia supaya menerokai sejarah serta kebudayaan rantau Balkan.

Minat mendalam Lim dalam bidang perfileman membuatkan beliau berhenti daripada kerjanya sebagai jurutera di sektor korporat di Jepun dan setakat ini sudah menghasilkan 7 buah filem.

Dari jurutera ke pembuat filem

Bagi Lim, beliau bermula agak lambat dalam industri perfileman.

“Masa berhenti kerja pada 2004, umur saya 31 tahun. Saya buat filem masa berumur 37 tahun. Memandangkan karier saya dalam industri filem bermula agak lambat, saya perlu terus membuat filem, “ kata Lim.

Beliau adalah graduan Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Osaka sebelum mengambil pengajian pembuatan filem di Beijing pada 2004.

Sebelum memulakan karier dalam industri perfileman pada 2009, beliau pernah bekerja sebagai penolong pengurus pengeluaran dalam sebuah projek filem keluaran bersama China dan Jepun.

“Saya suka filem. Sebelum berhenti kerja sebagai jurutera, saya menonton banyak filem di panggung wayang di Jepun.

“Inilah peluang untuk melihat pelbagai jenis filem temasuk yang berbajet kecil di Jepun. Di Malaysia tak banyak peluang seperti ini kerana kebanyakan filem yang ditayangkan dikuasai filem Hollywood atau Hong kong,” katanya.

Bagi Lim, membuat filem lebih menarik daripada bekerja sebagai jurutera kerana ia berurusan dengan manusia berbanding jurutera yang boleh membosankan kerana banyak berurusan dengan komputer.

Bagaimanapun, kata Lim, industri pembuatan filem boleh menjadi sukar serta mencabar dengan pendapatan yang tidak stabil.

“Ini kerana banyak filem Jepun dikeluarkan setiap tahun. Jepun adalah negara ketiga aktif mengeluarkan filem selepas India dan Hollywood, “ kata Lim.

Filem beliau “No Where Now Here” yang dibuat penggambaran di rantau Balkan mendapat perhatian di Jepun apabila ia dipertontonkan pada Pesta Filem Osaka Mac tahun ini.

Lim yang menubuhkan syarikat di Jepun untuk bagaimanapun berpendirian terbuka sekiranya ada peluang kerja di mana sahaja termasuk di Malaysia.

Beliau turut gembira dapat kembali ke Malaysia untuk Pesta Filem Jepun 2018 kerana rakan-rakannya akhirnya dapat menonton filem yang dihasilkannya dan boleh memberitahu mereka beliau kini seorang pembuat filem.