Maszlee arah pilihan raya kampus diurus pelajar

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengesahkan kementerian memberikan kuasa kepada pelajar di universiti awam untuk melakukan dan menguruskan pilihan raya kampus tanpa campurtangan pentadbir universiti.

Beliau berkata pelajar di semua universiti awam akan mula menguruskan pilihan raya kampus masing-masing pada pemilihan akan datang.

“Kita telah berikan kuasa kepada pelajar untuk melakukan pilihanraya mereka sendiri tanpa diganggu oleh pihak pentadbir,” katanya kepada media selepas pertemuan tertutup dengan wakil-wakil kumpulan mahasiswa di Hotel Everly hari ini.

Perbincangan hampir 2 jam itu umumnya membincangkan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan hal ehwal pelajar.

Wakil Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali berkata, kumpulan pelajar juga diberi kebenaran untuk menubuhkan jawatankuasa pemantauan pilihan raya kampus bagi memastikan pemilihan yang bersih dan adil.

“Tindakan kotor seperti yang dilakukan semasa era Barisan Nasional sudah tamat. Kami komited membawa suara mahasiswa supaya piliha raya kampus dijalankan dengan bersih dan adil,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

“Kami akan berikan cadangan kepada kementerian tentang bagaimana kita boleh mereformasikan pilihan raya kampus.”