Nik Nazmi gesa Azalina bantu selesaikan masalah hutang PTPTN

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman membantu menyelesaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan dahulu berkaitan penyelesaiaan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Nik Nazmi berkata, Azalina diseru memberi bantuan bagi menyelesaikan isu ini bukannya mengkritik Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tidak mengotakan janji berkaitan kebajikan pelajar dan hutang PTPTN.

“Jika Azalina nak bantu nasib pelajar yang didakwanya ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), silakan, katanya kepada FMT.

Terdahulu, Azalina mendakwa terdapat sebilangan pelajar terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu menampung kos pengajian.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Maszlee tidak mengotakan janji berkaitan kebajikan pelajar dan hutang PTPTN.

Katanya, setiap kali ternampak wajah Maszlee, beliau akan terbayangkan nasib pelajar ditipu kerajaan PH.

Nik Nazmi, isu pelajar tidak menyelesaikan hutang PTPTN adalah berkait dengan mekanisme pendidikan kerajaan terdahulu semasa memberi pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Masalah ini berpunca daripada bercambahnya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada zaman Umno memerintah, bukannya salah kerajaan PH sekarang,” katanya.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Azalina sendiri perlu berperanan sebagai Ahli Parlimen dan juga peguam jika beliau ikhlas ingin membangkitkan isu kebajikan pelajar dan hutang PTPTN dan tidak mempolitikkannya.

“Umno perlu membantu menyelesaikan masalah segelintir pelajar terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu menampung kos pengajian kerana mereka pasti mempunyai jawatankuasa kebajikan di IPT untuk melihat perkara itu,” katanya.

Sementara itu, felo Majlis Profesor Negara berkata dakwaan Azalina tentang pelajar IPT terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu harus dipandang serius.

Dr Teo Kok Seong berkata, sekali imbas isu peminjam PTPTN kelihatan seperti serangan politik terhadap pihak lawan, namun begitu ia perlu diselidik bagi mencari kebenarannya, khususnya untuk kebaikan pelajar.

“Tidak dinafikan kerajaan PH berjanji mahu menyelesaikan isu PTPTN dengan cara lebih baik tetapi ia belum tercapai dan menjadi masalah kepada pelajar.

“Kerajaan PH perlu tunaikan janji secepat mungkin kerana dikatakan mereka mempunyai cara lebih baik berbanding kerajaan dahulu,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membidas pelajar yang gagal membayar hutang PTPTN sebagai tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu.

Beliau berkata, kebanyakan peminjam mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri, tetapi sengaja tidak membayar pinjaman menyebabkan tunggakan hutang PTPTN mencecah RM36 bilion.

Manifesto pilihan raya umum PH berjani membenarkan graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Maszlee selepas itu dilaporkan berkata, setiap peminjam perlu melunaskan hutang PTPTN tanpa mengira yang dibuat dalam manifesto tersebut.