PAS alu-alukan sokongan pengundi Umno di Port Dickson, kata Hadi

Abdul Hadi berkata meskipun Umno-PAS tidak mempunyai sebarang ikatan, namun beliau percaya anggota dan pengundi Umno akan menyebelahi parti itu.

PORT DICKSON: PAS mengalu-alukan sokongan anggota dan pengundi Umno kepada calon parti itu yang bertanding dalam pilihan paya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun Umno-PAS tidak mempunyai sebarang ikatan, namun beliau percaya anggota dan pengundi Umno akan menyebelahi parti itu.

“Dalam negara demokrasi, PAS menerima siapa sahaja yang menyokong kita,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana PAS di Bagan Pinang, di sini, malam tadi yang turut dihadiri calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Umno pada 24 Sept lepas bertindak memboikot PRK Port Dickson dengan tidak meletakkan calon mereka selain tidak akan menyokong atau membantu mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

PRK itu menyaksikan pertandingan 7 penjuru di antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazari dan 5 calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Okt ini sebagai hari mengundi manakala 9 Okt untuk pengundian awal.