Rampasan Pavilion Residence ikut undang-undang, kata KPN

KUALA LUMPUR: Polis mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan semasa menjalankan penggeledahan dan rampasan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavilion Residences pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan keselamatan itu memandang berat dakwaan dilemparkan kerana ia mencalar kredibiliti polis, apatah lagi dalam kes berprofil tinggi sedemikian.

“Semua pegawai dan anggota dipilih menjalankan penggeledahan dan rampasan diberi taklimat dengan terperinci oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bagi memastikan semua mereka menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

“Dalam penggeledahan itu, polis turut dibantu pihak Pavilion Residences dan Bank Negara Malaysia bagi mengelak sebarang pertikaian di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuzi menjawab dakwaan berlaku penyelewengan oleh polis apabila sejumlah RM43.3 juta daripada keseluruhan wang tunai dirampas di Pavilion Residences didakwa lesap.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu agar membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

”Tindakan ini wajar bagi membersihkan nama dan imej polis. Dalam masa sama, kami ingin menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan yang menimbulkan spekulasi negatif atau menyentuh sensitiviti perkauman sehingga boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.

Pada Rabu lepas, Umno menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada polis susulan dakwaan kehilangan wang parti itu ketika serbuan dan rampasan pihak berkuasa di sebuah pangsapuri di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, Jun lalu.

Tuntutan itu dibuat menerusi permohonan terkandung dalam writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 September lepas.

Umno mendakwa wang disimpan di pangsapuri itu adalah RM160 juta dan bukannya RM116.7 juta seperti diumumkan polis.

Khamis lepas, penulis blog Raja Petra Kamarudin menerusi blognya, mendakwa polis mencuri RM43.3 juta daripada RM160 juta wang Umno yang dirampas di 6 premis termasuk 3 di Pavilion Residences.