Sudahkah anda lapor kesalahan PKR, Najib tanya Bersih

Najib aktif berkempen untuk calon Barisan Nasional pada PRK DUN Sungai Kandis..

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa pemantau pilihan raya Bersi 2.0 mengesahkan sudahkah ia membuat laporan polis terhadap PKR dan calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis kerana didakwa melakukan kesalahan pilihan raya.

Najib berkata dia dipanggil polis untuk memberi keterangan kerana didakwa melanggar Akta Pilihan Raya berhubung satu catatan di Facebook yang dimuatnaik pada pagi hari pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Berkempen pada hari pengundian adalah satu kesalahan menurut akta itu.

Najib hari ini berkata dia sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tetapi mahu tahu sudahkah Bersih 2.0, yang membuat laporan polis terhadapnya, juga turut bertindak terhadap calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Bersih sendiri pernah mendakwa telah melakukan kesalahan yang agaknya teruk semasa pilihanraya kecil itu.

“Ini merupakan peluang baik untuk NGO dan kerajaan untuk membuktikan mereka berlaku secara adil dan tidak berat sebelah,” katanya di Facebook.

Najib turut memuatnaik kenyataan media oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Adam yang menyorot perhatian kepada beberapa kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh Zawawi, seperti yang didedahkan oleh Bersih 2.0.

Ini termasuk pemberian penukaran minyak hitam motosikal percuma, pemeriksaan kesihatan dan ubatan percuma, menyalahguna aset kerajaan dan berkempen di sekolah.

Lokman berkata Bersih 2.0 juga menuduh beberapa menteri Pakatan Harapan menggunakan kereta rasmi untuk turun ke pusat penamaan pada hari mengundi.

Pada PRK 4 Ogos itu, Zawawi menewaskan Lokman dan calon bebas K Murthy dengan majoriti 5,842 undi. PRK itu diadakan kerana kematian penyandang, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR.