Umno akan gagal saman pembelot, kata bekas hakim

PETALING JAYA: Umno akan gagal dalam cubaan mendapatkan kembali kos daripada wakil rakyat yang melompat selepas pilihan raya 9 Mei lepas, kata bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sri Ram berkata keputusan mahkamah sedia ada dalam kes serupa tidak memihak kepada Umno, dan merujuk kepada 2 keputusan oleh Mahkamah Persekutuan: Datuk Ong Kee Hui melawan Sinyium Anak Mutit, dan Nordin bin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Beliau berkata sebarang kontrak antara wakil rakyat terpilih dan parti politik yang mengatakan dia perlu mengosongkan kerusi dan pulangkan perbelanjaan pilihan raya sekiranya belot adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

“Undang-undang anti-lompat juga tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah seperti yang ditetapkan dalam kes Nordin,” katanya.

Sri Ram berkata mahkamah tidak boleh secara tidak langsung menguatkuasakan satu-satu perkara yang tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung.

“Jadi sekiranya parti politik membuat tuntutan untuk memaksa peletakan jawatan atau untuk mendapatkan kembali perbelanjaan pilihan raya, wakil rakyat itu akan berjaya atas sebab-sebab dasar awam,” katanya.

Beliau berkata undang-undang tidak boleh secara langsung atau tidak langsung menguatkuasakan aturan yang melarang keluar parti.

Pada Sabtu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen dan Adun yang belot dalam usaha mendapatkan kembali perbelanjaan kempen pilihan raya umum.

Zahid berkata saman sudah dihantar kepada mereka, dan mereka diberitahu supaya mengosongkan kerusi bagi membuka laluan kepada pilihan raya baharu.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa menghantar surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada speaker bertentangan dengan dasar awam dan oleh itu tidak sah.

Hakim Tun Salleh Abas berkata: “Sistem kerajaan berperwakilan berdasarkan kepada kebebasan memilih.

“Pemilih mesti bebas memilih calon untuk mewakili mereka di legislatif, manakala calon yag berjaya mesti bebas bertidak mengikut penilaian sendiri.

“Sebarang aturan yang tidak membenarkan kebebasan itu tidak disukai undang-udang kereana ia mencabul dasar awam.”