Bukan kami tapi SPR, Bersih 2.0 beritahu Najib

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat semua kesalahan pilihan raya dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis, termasuk yang dilakukan oleh calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bersih menjawab pertanyaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sama ada ia sudah membuat laporan polis tentang kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh Zawawi seperti laporan polis terhadapnya.

Pemantau pilihan hari ini menjelaskan mereka tidak membuat laporan polis terhadap Najib kerana berkempen pada hari pengundian tetapi kepada SPR, yang membuat laporan polis tentang perkara itu.

Bersih percaya laporan SPR itu yang membawa kepada siasatan ke atas Najib. Ia menambah semua kesalahan pilihan raya oleh semua pihak terlibat didokumenkan dan diserahkan kepada SPR untuk tindakan susulan.

“Terserah kepada SPR untuk mempertimbangkan langkah-langkah sewajarnya selaku institusi yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap kesalahan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

“Bersih mengalu-alukan tindakan oleh SPR dan polis kerana ia menetapkan duluan baharu dalam tidakan terhadap kesalahan pilihan raya, yang sebahagian besarnya diabaikan di masa lalu bawah pemerintahan Barisan Nasional tanpa dihukum.”

Pemantau pilihan raya itu berkata aduan kesalahan pilihan raya oleh pertubuhan lain dan orang awam terhadap sesiapa pun harus disiasat SPR bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas.

“Kami berharap ini akan memberi isyaratyang betul kepada semua parti politik dan calon agar mematuhi prinsip pilihan raya yang bersih, adil dan bebas di masa akan datang, termasuk pilihan raya kecil Port Dickson.”

Semalam, Najib berkata dia dipanggil polis untuk diambil keterangan kerana satu catatan Facebook yang dimuatnaik pada hari pengundian PRK Sungai Kandis. Catatan itu didakwa menyalahi Akta Pilihan Raya.

Bekas perdana menteri berkata dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.