Di sebalik lantikan GLC dan agensi, PPBM diingatkan jangan pinggir ahli lama berkebolehan

Pimpinan kanan PPBM disaran tidak mengenepikan mereka yang bersama parti sejak awal ketika ia masih belum mendapat sokongan seperti sekarang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi PPBM memutuskan akan bertemu dengan bekas calon yang tewas pada pilihan raya Mei lalu di samping “orang lama” parti yang mempunyai kepakaran di sebalik kebimbangan yang kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad seolah-olah mengenepikan pengorbanan mereka sejak kemenangan parti itu.

Ia berikutan peringatan kepada pimpinan parti ketika mesyuarat pimpinan tertinggi minggu lepas, agar tidak melupakan mereka yang bersama parti itu sejak awal ketika ia masih bertungkus lumus mendapatkan sokongan rakyat.

Dalam surat oleh sekumpulan bekas calon PPBM baru-baru ini, yang kandungannya dilihat FMT, Dr Mahathir diminta tidak melupakan jasa mereka yang melakukan pengorbanan kepada PPBM.

Dr Salihuddin Radin Sumadi.

“Bukan sesuatu yang keterlaluan untuk mengatakan yang kebanyakan kami, bekas calon PRU14, mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman yang setanding kalau pun bukan jauh lebih hebat daripada golongan yang kononnya ‘profesional’, yang kini dilantik ke agensi dan syarikat milik kerajaan,” menurut surat kepada Dr Mahathir yang ditanda tangani Dr Salihuddin Radin Sumadi, bekas calon PPBM di Pasir Salak yang tewas pada pilihan raya Mei lalu.

Salihuddin berkata penting untuk kerajaan memastikan hala tuju dasarnya dipertahankan melalui pelantikan orang parti yang mempunyai kelayakan.

“Tolong, tolong jangan ketepikan kesemua kami. Kami adalah mereka yang setia kepada perjuangan dan kepentingan Pakatan Harapan khususnya PPBM.

“Mereka yang setia kepada parti seperti kami penting sebagai jambatan kepada aspirasi, misi dan visi kerajaan PH kepada rakyat di 222 kawasan Parlimen,” menurut surat itu.

Dihubungi FMT, Salihuddin berkata beliau tidak memaksudkan ahli parti mengharapkan ganjaran atas pengorbanan mereka.

“Saya lebih suka katakan kesinambungan kepada perkhidmatan dalam parti sebelum memerintah dan selepas memerintah,” kata Salihuddin, seorang jurutera berkelayakan.

“Jadi untuk kesinambunagan itu, yang paling wajar dan paling baik adalah mereka yang lebih awal menyertai parti, bukan orang kemudian selepas menang. Dalam bahasa mudahnya, mereka ini terhegeh-hegeh untuk memasuki parti yang telah menang namun tidak ada masalah mereka yang menyokong.

“Tetapi jangan kera di hutan, anak di pangkuan mati kehausan kelaparan,” katanya.

FMT difahamkan rasa kurang puas hati itu mendapat perhatian salah seorang pemimpin PPBM, yang meluahkan sendiri perkara itu kepada Muhyiddin Yassin, ketika majlis pimpinan tertinggi PPBM bermesyuarat minggu lepas tanpa kehadiran Dr Mahathir yang sedang berada di luar negara.

“Ia menunjukkan wujud kebimbangan mengenai elemen Umno ditarik masuk ke dalam kerajaan melalui pelantikan ke jawatan kanan di syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lain,” sumber yang rapat dengan pimpinan kanan PPBM itu memberitahu FMT.

Antara nama yang menjadi tanda tanya di kalangan akar umbi PPBM ialah pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA) Hasnita Hashim daripada Maybank, Tony Fernandes yang dilantik mengetuai Perbadanan Stadium Malaysia dan Nungsari Ahmad Radzi yang dilantik sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Wan Saiful Wan Jan.

Sumber itu berkata, mesyuarat parti yang sudah lama tidak melihat isu hangat diperbincangakan, bertukar “panas” seketika apabila Wan Saiful Wan Jan, antara kalangan bukan ahli-politik yang menyertai PPBM dan menjadi calon pada pilihan raya umum lepas, mempersoalkan pelantikan beberapa personaliti yang sebelum ini rapat dengan pentadbiran Najib Razak di kemuncak permusuhan Mahathir dan Umno.

“Beliau bersetuju dengan dasar PPBM mengalu-alukan orang Umno masuk ke dalam PPBM, tetapi mengingatkan tentang ahli-ahli lama berjuang sejak awal dan berjasa kepada parti,” katanya.

Sumber itu berkata, Wan Saiful, yang kini merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menyebut tentang “jasa orang-orang lama” termasuk ketua dan ahli jawatankuasa bahagian serta bekas calon.

“Mereka mengambil risiko awal untuk bertanding di tempat-tempat yang sukar. Kebajikan mereka adalah tanggungjawab parti,” kata sumber yang memetik Wan Saiful pada mesyuarat itu.

Ketika dihubungi, Wan Saiful sekadar mengesahkan perkara itu ada dibincang tetapi enggan mengulas lanjut.

“Ia antara topik yang timbul apabila pimpinan diberi kebebasan mempersoalkan hala tuju parti,” katanya.

Pandangan terbuka Wan Saiful itu mendapat sokongan beberapa ahli MPT lain, termasuk Akhramsyah Sanusi dan Zahid Md Arip, bekas calon Pekan yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri.

Razali Idris.

Seorang lagi ahli MPT yang juga Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata PPBM tidak seharusnya terlalu bimbang dengan kemasukan ahli Umno dan mereka yang “mesra Najib”.

“Apa yang kita takut sangat? Sebagai ahli parti, kita tidak perlu takut, datanglah orang dari mana pun,” kata Razali kepada FMT.

Menurutnya, PPBM sebagai satu-satunya parti Melayu terpaksa menjadi lebih terbuka keahliannya kepada orang Umno.

“Kalau orang Umno ini datang dan kita tidak ambil dia, kita akan rugi, ada di kalangan orang Umno yang hebat, bukan semuanya penyangak, penyamun,” kataya.

Menurut Razali, bukan sukar membongkar niat mereka yang menyertai PPBM semata-mata untuk jawatan lumayan.

“Kelik ikan di air itu kita tahu betina atau jantan,” kata Razali memberikan kiasan.

“Maksudnya, kalau ada ahli Umno yang masuk untuk meneruskan legasi jawatan, saya rasa tidak akan berlaku,” tambahnya.

Menurutnya, ramai ahli Umno bertemu Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk menyertai PPBM secara berkelompok.

“Kita tidak setuju. Kita mahu, kalau dia nak masuk, kena letak jawatan dalam Umno, kemudian masuk. Kita tidak akan berikan apa-apa jawatan, memang dia kata tidak mahu tetapi kita tahu niat dia,” katanya.

Razali berkata apa yang diluahkan oleh bekas calon sesuatu yang boleh difahami.

“Kita sudah berjuang dan kita mesti dapat sebahagian dari hasil kemenangan itu.

“Cumanya jangan berlebihan,” katanya.

“Kita perlu mengisi kemenangan dengan tertib, jangan gelojoh dan menggelabah.”