Dr M ikrar Malaysia akan jadi Harimau Asia sekali lagi

SUBANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar Malaysia akan menjadi Harimau Asia sekali lagi, sejurus mendarat di tanahair sekembalinya daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom hari ini.

Beliau berkata rakyat perlu bekerja keras, berusaha dan buktikan kepada dunia bahawa negara mampu kembali menjadi ekonomi yang berkembang pesat.

“Kita kena buat persediaan, jangan hampakan mereka yang akan datang ke dalam negara. Tunjukkan kepada dunia negara sudah dipulihkan dan akan kembali memajukan negara ke arah menjadi sekali lagi Harimau Asia,” katanya.

Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada 6.35 petang tadi dan disambut lebih 100 penyokong.

Beliau ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-73 selama 5 hari dan seterusnya ke London untuk rangka lawatan kerja ke-2 selama 2 hari.

“Di PBB, kita adakan pertemuan dengan ramai pelabur dan juga media AS untuk menjelaskan dasar-dasar Pakatan Harapan.

“Nampaknya, setelah penjelasan dibuat, ramai berjanji akan datang ke Malaysia untuk melabur. Apa yang diutamakan kerajaan adalah adakan seberapa banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya dalam sat ucapan ringkas kepada penyokong.

Gelaran Harimau dipakaikan pada ekonomi negara-negara Asia yang pesat membangun pada 1960-an hingga 1990-an. Empat negara asal yang diberi gelaran itu ialah Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.

Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam diberi gelaran “Tiger Cub Economies” (Anak Harimau).