Dr M kecewa Najib tak seperti bapanya

Dr Mahathir Mohamad berkata Najib Razak memberitahunya mengenai ‘cash is king’. (Gambar Bernama)

LONDON: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kecewa dengan Datuk Seri Najib Razak kerana tidak memiliki ciri seperti bapanya Tun Abdul Razak Hussein, yang merupakan individu yang beliau sanjungi.

Dr Mahathir berkata Razak adalah orang yang begitu prihatin dengan nasib orang kampung termasuk memperkenalkan pembangunan kawasan luar bandar namun anaknya tidak sedemikan.

Menurutnya, Najib tiba-tiba memberitahunya mengenai “cash is king”.

“Bila kita kata ‘cash is king’ bermakna dengan duit kita boleh buat apa sahaja. Bila tak ada duit, curi duitlah,” katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja siri ke-2 ke United Kingdom pada Isnin.

Beliau turut kecewa dengan kerosakan jentera kerajaan yang berlaku pada pentadbiran Najib apabila terdapat pegawai kerajaan yang berkempen semasa pilihan raya.

Dr Mahathir berkata ketika beliau menjadi perdana menteri pertama kali pada 1981, tiada masalah berlaku dengan jentera kerajaan.

“Tiada masalah, cuma nak buat keputusan berkenaan perkara ini, perkara itu dan perkara ini. Jentera kerajaan berjalan dengan baik,” katanya mengenai pengalaman ketika mula menjadi perdana menteri pada 1981 sehingga 2003.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil kerusi berkenaan pada 13 Okt ini kerana bilangan calon yang ramai bertanding akan memecahkan pengundi.

Kerusi itu akan melibatkan pertandingan 7 penjuru termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan sebagai pencabar Anwar.

Ditanya mengenai cara pengosongan kerusi berkenaan, Dr Mahathir berkata ia tidak menyalahi undang-undang walaupun ada yang mempertikaikan dari sudut moral.

“Undang-undang membenarkan wakil rakyat letak jawatan dan beri jalan pada pihak lain,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata kemenangan Anwar akan membolehkannya menjadi ahli Parlimen.

“Dia bertanding untuk memenuhi kerusi yang kosong. Bila menang dia jadi ahli Parlimen,” katanya.

Dr M miliki nota kecil

Dr Mahathir akan sentiasa membawa buku catatan kecil ke mana-mana jua dan mencatatkan nota dengan segera tentang tindakan yang perlu dilakukan anggota Kabinet.

“Saya catat masa itu juga. Jangan tunggu lama-lama, nanti lupa. Tulis apa yang boleh kita ambil tindakan,” katanya.

Dalam pertemuan dengan media Malaysia itu, beliau turut mengeluarkan buku nota kecil itu tetapi tidak membenarkan membaca apa yang tertulis di dalamnya.

“Depan pun bubuh (tulis), belakang pun bubuh,” katanya sambil menyelak buku kecil berkenaan.

Beliau turut mempunyai catatan dalam buku kecil berkenaan ketika berada di London.

Dr Mahathir berkata beliau akan membacakan catatan dalam buku berkenaan pada mesyuarat Kabinet, yang dipengerusikannya.

“Saya lihat apa yang perlu dilakukan, saya tulis nota di sini (buku). Bila mesyuarat Kabinet, saya sebutlah benda ini.

“Sebagai perdana menteri, saya bertanggungjawab secara keseluruhan, yang jalan tugas menteri-menteri. Saya kena beritahu menteri kalau ada sesuatu yang perlu diketahui menteri itu, supaya dia ambil tindakan,” katanya.