Gempa Sulawesi: Banduan larikan diri, penduduk curi barang

Penduduk setempat mencuri barang keperluan dalam sebuah kedai serbaneka di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Banduan melarikan diri dan perbuatan mencuri di pasar raya antara krisis kemanusiaan yang berlaku di Sulawesi Tengah, selepas gempa 7.4 skala Richter pada Jumaat lalu.

Penduduk yang kini menghadapi masalah bekalan air bersih, makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas harian, terpaksa mencuri barangan keperluan di pasar raya serta kedai untuk kelangsungan hidup.

Rakaman video penduduk mengejar kenderaan membawa makanan dan mencurinya di jalanan tanpa segan silu turut tersebar di media sosial.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berharap semua pihak tidak membesar-besarkan kejadian itu kerana kawasan berkenaan sedang menghadapi situasi darurat.

“Dalam keadaan darurat seperti ini, jangan mempermasalahkan hal-hal kecil yang sebetulnya tidak menjadi masalah utama di situ.

“Kalau pun ada masyarakat gempa bumi yang mengambil bahan makanan di toko atau ‘mini market’, aksi itu bukanlah penjarahan (pencurian), melainkan bentuk kebaikan hati pemilik toko untuk membantu sesamanya yang sedang kesusahan,” katanya dipetik media Indonesia yang menimbulkan pelbagai polemik.

Mengenai laporan 1,425 banduan melarikan diri dari Penjara Palu dan Donggala, selepas tembok serta bangunan penjara runtuh ketika gempa berlaku, pihak berkuasa Indonesia memberi seminggu untuk mereka kembali ke penjara.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, pihak berkuasa akan memburu semua banduan terbabit sekiranya tidak kembali melaporkan diri secara sukarela.

Menurut kenyataan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, seramai 1,425 daripada 3,220 banduan di Sulawesi Tengah dilaporkan melarikan diri selepas bencana itu.

Memetik laporan media tempatan, pihak berkuasa penjara tidak mampu menghalang kejadian itu kerana semua petugas penjara juga terkesan teruk akibat gempa itu.

“Semua orang melarikan diri…berlari menyelamatkan diri, berlari mencari keluarga, sanak saudara,” kata seorang pegawai penjara tidak dinamakan.

Jokowi yang dipetik Kompas.com ketika meninjau Sulawesi Tengah berkata, pemerintah Indonesia akan segera menghantar barang keperluan dan ubat-ubatan ke kawasan bencana serta menangani apa jua krisis kemanusiaan yang sedang berlaku.

Setakat semalam, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia mengumumkan jumlah mangsa yang disahkan terkorban ialah 844 orang.

Korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri mencecah ribuan mangsa, selepas pasukan penyelamat mula memasuki kawasan yang musnah teruk akibat bencana itu.

Lebih 30,000 penduduk terjejas teruk akibat gempa dan tsunami Jumaat lalu. Mereka dilaporkan bermalam di jalanan serta berterusan trauma kerana lebih 250 gempa susulan masih melanda Sulawesi Tengah.