Jaga ‘rumah tangga sendiri’, Bung beritahu Azmin

Bung Moktar menjangkakan PKR akan menjadi kucar kacir dan huru hara menjelang hujung Oktober ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin hari ini menggesa orang luar daripada Umno berhenti membuat ramalan mengenai parti itu, termasuk Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bung berkata, Azmin seharusnya menjaga “rumah tangga sendiri” dan menjaga PKR.

“Umno telah melalui perhimpunan agung baru-baru ini dan kita membuat satu solidariti iaitu kesetiaan kepada perjuangan dan mana-mana yang meninggalkan parti perjuangan itu sebagai pengkhianat.

“Jadi Azmin tak perlulah, orang luar tidak perlulah membuat pelbagai andaian, lihat parti masing-masing,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Azmin yang menjangkakan jumlah ahli Parlimen daripada Umno akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.

“PKR hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 ahli Parlimen, DAP mempunyai 42 ahli Parlimen, Umno ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal 3 4 kerat sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Bung yang juga ahli Parlimen Kinabatangan menjangkakan PKR akan menjadi kucar kacir dan huru hara menjelang hujung Oktober ini.

“Sebab saya melihat menjelang hujung bulan Oktober ini parti Azmin sendiri akan kucar kacir sama ada dia menang ataupun kalah, parti dia akan menjadi huru hara. Dan kita telah lihat sebelum pemilihan dah banyak mandi darah, kerusi terbang, macam-macam.

“Jadi jaga rumah tangga sendiri, jaga parti sendiri. Jadi pemerintah bukan mudah tapi nak memerintah itu senang. Minta Azmin tunaikan dulu janji-janji pilihan raya dia. Tak perlu sibuk tentang Umno yang nak keluar dan sebagainya,” katanya.

Mengulas kenyataan Azmin yang mengatakan Perhimpunan Agung Umno kelihatan lemah tanpa pendirian tegas dalam menentukan hala tuju parti, Bung menafikan dakwaan menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

Bung berkata, dalam Perhimpunan Agung Umno, 7 prinsip yang merangkumi 21 langkah dibentangkan bagi membolehkan parti itu mencapai kejayaan.

“Kalau itu semua dapat diikuti oleh ahli Umno, Umno bukan sahaja gagah perkasa bahkan dapat menjatuhkan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kita tak kisah andaian mana-mana pihak, Umno lemah ke, Umno tidak mampu lagi ke, yang penting kita tahu apa yang Umno mampu lakukan menjatuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang,” katanya.