Lebih 1,200 orang maut dalam gempa Sulawesi

Pasukan mencari dan menyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan Hotel Roa-Roa di Palu, Sulawesi Tengah, hari ini. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Angka korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,234 mangsa setakat 1 tengah hari tadi.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah itu dikhuatiri terus meningkat berikutan banyak kawasan belum dapat dimasuki pasukan mencari dan menyelamat.

“Lebih 6,000 anggota mencari dan menyelamat terdiri daripada tentera, polis dan agensi berkaitan menghadapi pelbagai kekangan untuk memasuki kawasan yang teruk terkesan gempa dan tsunami itu,” katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter menggegarkan Kota Palu dan Donggala yang turut mengakibatkan tsunami Jumaat lepas, serta turut disusuli lebih 250 gempa susulan setakat ini.

Kawasan perkampungan di wilayah Tondo, Parimo, Punglere dan Petobo yang ramai penduduknya dilaporkan “lenyap”, ditenggelami lumpur dan musnah teruk akibat gempa dan tsunami.

Pihak berkuasa Indonesia khuatir ramai penduduk di kawasan itu hilang dihanyutkan tsunami atau tertimbus dalam lumpur, runtuhan rumah dan bangunan.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, berdasarkan perangkaan setakat 1 tengah hari tadi, lebih 1,700 rumah dan bangunan musnah dan beratus penduduk cedera.

“Jumlah itu pasti meningkat, pihak BNPB masih menjalankan pendataan.

“Pihak berkuasa kini mendirikan rumah sakit sementara (khemah untuk rawatan dan perubatan) di kawasan-kawasan lapang bagi tujuan rawatan perubatan,” kata Sutopo.

Katanya, lebih 30,000 penduduk yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami amat memerlukan bantuan air bersih, makanan, selimut dan ubat-ubatan.