Menteri janji tiada tindakan diambil jika serah lesen terbang

Loke Siew Fook berkata, hanya beberapa individu menyerahkan lesen terbang mereka kepada JPJ dalam 2 minggu selepas arahan itu dikeluarkan 13 September lalu.

KUALA LUMPUR: Menteri pengangkutan hari ini memberi jaminan tiada tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas individu yang menyerahkan lesen terbang mereka kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 13 Oktober ini.

Loke Siew Fook turut berjanji akan membantu mereka mendapatkan lesen memandu sah.

“Saya nak nasihatkan mereka yang membeli lesen terbang ini untuk tampil dalam tempoh sebulan ini dan tiada tindakan akan diambil asalkan mereka memberikan kerjasama.

“Kalau mereka mahu menguji kesabaran kita, tunggulah selepas ini,” katanya selepas melawat JPJ Wilayah Persekutuan.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat 14,000 pemegang lesen terbang di seluruh negara dan JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka.

Katanya, pemegang lesen terbang itu yang kebanyakannya warga tempatan dan China diberi masa sebulan, sejak 13 September lalu untuk mengembalikan lesen itu.

Beliau berkata, pihaknya maklum tentang iklan penjualan lesen terbang di laman sosial dan mengarahkan ketua pengarah JPJ menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.

Maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 14 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 September lalu.

Hari ini, Loke berkata, hanya beberapa individu berani yang menyerahkan lesen terbang mereka kepada JPJ, setakat 2 minggu arahan itu dikeluarkan.

“Jumlah lesen terbang yang dipulangkan tidak banyak dan jumlahnya terlalu kecil untuk saya dedahkan.

“Ini menunjukkan ada orang yang rasa kita tidak serius.”