Menteri: Pusat Sehenti Keusahawanan jadi pemudahcara bantu usahawan

Redzuan Md Yusof berkata, PSK akan menyediakan khidmat nasihat kepada usahawan dan bakal usahawan.

PUTRAJAYA: Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) yang ditubuhkan hari ini bertindak sebagai pemudahcara dalam menyediakan khidmat nasihat kepada usahawan, kata Menterinya, Mohd Redzuan Md Yusof.

Katanya, PSK yang berkonsepkan pameran bergerak dan talian bebas tol itu juga berperanan sebagai pusat penyimpan data dan mengumpul maklum balas.

“Pelaksanaan PKS melibatkan sumber sedia ada daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), termasuk SME Corp, SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tekun Nasional, Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara, UDA Holdings, Maktab Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan.

“Talian bebas tol PSK (1-300-88-1020) yang beroperasi pada 28 September lepas merupakan pemudahcara dalam memberi khidmat nasihat kepada usahawan dan bakal usahawan.

“Waktu operasi bukan 24 jam. Isnin hingga Khamis (8.30 pagi hingga 1 Petang) (2 petang hingga 5 petang), Jumaat (8.30 pagi hingga 12.15 tengahari) (2.45 petang hingga 5 petang), Sabtu dan Ahad atau cuti umum tutup,” katanya berucap dalam perasmian PSK di Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya, hari ini.

Sementara itu, Redzuan berkata, penubuhan Entrepreneurship Development Advisory Council (Edac) antara 3 pencapaian diperolehi kementeriannya sejak ditubuhkan 3 bulan lalu.

Katanya, Edac ditubuhkan untuk membantu kementeriannya dalam penggubalan dasar program keusahawanan.

“MED juga telah mengadakan ‘Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera’ dan ‘Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 pada September lalu.

“Konvensyen ini merupakan platform penting kepada golongan usahawan kecil dan sederhana di peringkat akar umbi untuk menyuarakan pandangan serta idea mereka dalam usaha memperkasakan pembangunan usahawan Bumiputera.”

Katanya, 3 konvensyen memperkasakan usahawan Bumiputera sudah diadakan di Kuching, Sarawak; Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.