Peguam: SPRM perlu efektif siasat dan tangkap, bukan sebat perasuah

Latheefa Koya berkata sebelum ini terdapat unsur campur tangan dan selektif yang membawa kepada masalah rasuah yang berleluasa.

PETALING JAYA: Kumpulan peguam berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) perlu efektif dalam menjalankan siasatan dan menangkap perasuah berbanding mengenakan hukuman sebat.

Pengarah Eksekutif, Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya berkata, SPRM perlu fokus dalam menyiasat dan menangkap perasuah secara efektif kerana ia adalah tindakan pencegahan yang lebih bermakna berbanding hukuman sebat yang menyeksakan dan melanggar hak asasi manusia.

“Tindakan sebat ke atas pesalah rasuah adalah satu bentuk hukuman yang bersifat penyeksaan dan tidak akan menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku di Malaysia.

“Cadangan sebat sepatutnya tidak harus dikemukakan atau dicadangkan dalam era pemerintahan Malaysia baharu bagi pesalah rasuah,” katanya kepada FMT.

Beliau menekankan hukuman yang dikenakan sekarang sudah mencukupi.

“Masalahnya, sama ada tindakan menyiasat dan menangkap pesalah rasuah perlu dijalankan dengan lebih banyak untuk memastikan mereka takut untuk melakukan jenayah ini.

“Selama ini SPRM mengambil tindakan menyiasat dengan bersikap sambil lewa. Dahulu, terdapat unsur campur tangan dan selektif yang membawa kepada masalah rasuah yang berleluasa,” katanya.

Terdahulu, SPRM meminta supaya kerajaan membuat pertimbangan dan kajian terhadap cadangan suruhanjaya itu untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata cadangan hukuman sebat itu secara langsung mencerminkan usaha serius pihaknya untuk membanteras rasuah secara habis-habisan.

Di bawah Akta SPRM 2009, hukuman bagi kesalahan berkaitan rasuah adalah maksimum 20 tahun penjara dan denda minimum RM10,000, atau 5 kali ganda nilai suapan (yang mana lebih tinggi).

Penasihat LFL, N Surendran juga sependapat dengan Latheefa bahawa hukuman sebat adalah hukuman yang amat kejam dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu.

Katanya, hukuman sebat adalah satu bentuk hukuman yang menyeksa perasuah secara tidak bertamadun dan melanggar hak asasi manusia.

“Hukuman sebat perlu dihapuskan dan tidak wajar diwujudkan sama sekali,” katanya.