Penganggur dihukum gantung bunuh teman wanita

Tertuduh membunuh teman wanitanya berusia 17 tahun. (Gambar Bernama)

IPOH: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, kira-kira 2 tahun lalu.

Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali membuat keputusan itu terhadap N Sanderasegaran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sanderasegaran dituduh membunuh S Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara 11.00 malam 27 Feb 2016 hingga 6.00 pagi 28 Feb tahun sama.

Che Ruzima dalam penghakimannya berkata ketika membela diri, tertuduh menyatakan mangsa dibunuh oleh perompak yang datang ke rumahnya pada masa kejadian.

Beliau berkata mahkamah mendapati kejadian rompakan itu adalah rekaan semata-mata dan pemikiran yang mudah untuk membela diri selain tertuduh hanya cedera ringan di tangan berbanding 37 kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Menurut Che Ruzima adalah tidak munasabah perompak memukul mangsa secara berterusan dalam tempoh panjang kerana kebiasaannya perompak berada dalam tempoh singkat dalam sesebuah rumah dicerobohi, kerana bimbang ditangkap.

Pada masa sama, Che Ruzima berkata barang kemas mangsa masih terdapat pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital, yang menunjukkan adalah mustahil perompak melarikan diri tanpa mengambil barang kemas berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 11 Mac 2016.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 12 saksi manakala 3 saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh, dikemukakan ketika membela diri.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon dan How May Ling, manakala tertuduh diwakili Ranjit Singh.