Pengundi PD gagal cabar peletakan jawatan Danyal

Bekas ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen itu pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kebenaran difailkan seorang pengundi Port Dickson untuk mencabar peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah di kerusi Parlimen itu.

Ranjit Singh yang mewakili Danyal berkata, Hakim Datuk Nordin Hassan menolak semakan kehakiman Rosmadi Mohd Kassim untuk mencabar peletakan jawatan anak guamnya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil ke-4 sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ranjit berkata, hakim memutuskan tiada kes dalam permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman Rosmadi.

“Hakim berkata, Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang ahli Parlimen atau senator menyerahkan surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Negara atau Dewan Rakyat.

“Tiada apa yang boleh menghalang seorang senator atau ahli Parlimen meletak jawatan,” katanya sambil menambah speaker mempunyai 60 hari untuk mengisi kekosongan itu selepas menerima notis peletakan jawatan.

Tiada arahan dikeluarkan berhubung kos.

Peguam Rosmadi, M Reza Hassan berkata, beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada mahu memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

“Ia adalah halangan yang sukar dilepasi.”

Katanya, Mahkamah Tinggi menetapkan 5 November ini untuk mendengar satu lagi permohonan difailkan seorang pengundi Port Dickson terhadap status pengampunan diraja Anwar.

Rosmadi memfailkan semakan kehakiman itu 2 hari sebelum penamaan calon pada Sabtu lalu, bagi mendapatkan pengisytiharan terhadap peletakan jawatan Danyal memberi laluan kepada PRK, sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau memohon PRK Port Dickson dibatalkan dan tidak sah, serta perintah mahkamah untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK pada 13 Oktober sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakimannya.

Danyal yang juga bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

SPR dilaporkan berkata, ia memerlukan RM3.6 juta untuk mengadakan PRK itu.

Terdapat 75,770 pengundi di kerusi Parlimen Port Dickson, termasuk 68,486 pengundi biasa, 7,268 pengundi awal dan 16 pengundi luar negara.

Anwar yang cuba kembali ke Parlimen melalui PRK Port Dickson akan berdepan 6 pesaing, iaitu Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili PAS dan 5 calon bebas lain, iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.