Pensyarah UIA cadang kajian kenal pasti bilangan LGBT

Gambar Reuters

ISTANBUL: Seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini mencadangkan satu kajian menyeluruh untuk mengenalpasti jumlah sebenar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia dalam usaha untuk membantu mereka kembali ke jalan betul.

Timbalan Dekan Jabatan Bahasa Arab Mohd Azrul Azlen Abd Hamid berkata sehingga sekarang belum ada mana-mana pihak membuat kajian itu ketika masyarakat umum lebih suka menghukum semua kategori golongan itu secara pukal.

Timbalan Dekan Jabatan Bahasa Arab Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap kategori golongan itu memerlukan cara dan pendekatan berbeza untuk berhadapan dengan mereka.

“Pada masa ini mereka yang berperwatakan lembut juga ‘diborong’ sebagai golongan LGBT,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk “Pendekatan Nabi Luth dan Sunnah Dalam Berinteraksi Dengan Golongan LGBT: Satu Analisis Wacana” sempena Seminar Warisan Nabawi (Swan) 2018 di International University of Renewal (IUR).

Seminar 2 hari itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mohd Azrul Azlen menjelaskan, Islam menunjukkan pendekatan dan cara untuk menangani kumpulan itu seperti yang terkandung dalam beberapa hadis sahih.

Antaranya ialah apabila ibu bapa mengesan anak mereka yang berperwatakan bertentangan dengan lumrah jantina, si anak hendaklah diminta keluar dari rumah.

“Ini bukan untuk menyisihkan anak itu tetapi bertujuan memastikan anak-anak lain tidak terpengaruh dengannya,” katanya.

Selain itu, ada hadis menganjurkan untuk menguatkan institusi keluarga supaya ibu bapa sedar tanggungjawab mereka.

“Islam bukanlah agama menghukum kerana setiap larangan itu mempunyai hikmah seperti untuk menjaga kesihatan dan membina masyakat bertamadun, mengikut ajaran agama,” tambahnya.