Polis tahan lelaki Syria tinggal di klia2 sejak Mac

Hassan Al Kontar memberi alasan enggan pulang ke Syria kerana bimbang dipaksa menjadi tentera. (Gambar Twitter)

PUTRAJAYA: Lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang didakwa tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lalu ditahan polis, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang mengesahkan penahanan itu berkata, pihaknya akan mengambil alih kes itu selepas siasatan polis selesai.

Beliau berkata, jabatan itu akan bekerjasama dengan Kedutaan Syria untuk membolehkan lelaki itu dihantar pulang atau keluar dari Malaysia selepas ini.

“Lelaki itu ditahan polis semalam kerana berada di kawasan larangan lapangan terbang tanpa ‘boarding pass’ (pas menaiki penerbangan).

“Kita akan selesaikan segera isu ini dengan Kedutaan Syria…kes ini perlu ada penyelesaian kerana ia memalukan negara,” katanya selepas melancarkan Narrowcasting Media dan Visa serta Pas Malaysia versi baru, hari ini.

Mustafar berkata, Hassan yang bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki Malaysia 7 Mac lalu, memberi alasan enggan pulang ke Syria kerana bimbang dipaksa menjadi tentera.

“Walau apa juga alasannya, kita tidak akan berkompromi dan akan pastikan kes ini ditutup dengan lelaki itu dikeluarkan dari negara ini.”

Mustafar berkata, Hassan sebelum ini cuba memasuki Kemboja, selepas tempoh pas lawatannya ke Malaysia berakhir, tetapi tidak dibenarkan pihak keselamatan negara itu.

“Di sana, dia tidak dibenarkan masuk kerana sebab tertentu dan balik semula ke Malaysia. Dia usahakan pelbagai cara dan keluarkan kenyataan yang memalukan negara kita di media sosial.”

Mengikut laporan akhbar, Hassan, 36, mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lalu kerana bimbang akan ditangkap jika pulang ke Syria.

Sepanjang tempoh itu, Hassan menghantar blog video tentang kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia serta media antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, penahanan 6 pegawai Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terbabit dalam rasuah turut dibantu pasukan risikan jabatan itu yang bekerjasama dengan SPRM.

Katanya, beliau sendiri sudah bercakap dengan pegawai atasan SPRM mengenai tindakan bersama yang boleh diambil, terutamanya berkongsi maklumat risikan sehingga individu berkenaan ditangkap.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan selepas pihaknya mengesan perbuatan segelintir pegawainya umpama duri dalam daging menyalahgunakan kuasa sehingga memberi imej negatif kepada imigresen.

“Sebab itu, jika ada tuduhan di mahkamah, kita akan pastikan mereka dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana menyalahgunakan amanah yang diberikan.”

Sabtu lalu, 6 pegawai imigresen serta 2 wanita, seorang daripadanya warga Vietnam direman 4 hari bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki bersubahat dengan sindiket untuk melepaskan inidividu disenarai hitam keluar dan memasuki negara ini.