
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak pernah mengakui kesilapan membuat tuduhan salah laku moral terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dipecat sebagai timbalannya pada 1998, sebagai menafikan dakwaan Anwar baru-baru ini.
“Saya tidak mengatakan perkara itu kepadanya, tetapi orang lain yang kata, kerana mereka mahu saya memohon maaf,” kata perdana menteri itu dalam temu bual dengan BBC Britain dalam program Hardtalk.
“Tetapi saya tidak pernah membuat permohonan maaf secara formal kepadanya,” katanya kepada hos rancangan, Zeinab Badawi yang membacakan petikan temu bual dengan Anwar.
Memetik ucapan Anwar, Zeinab berkata: “Dr Mahathir membuktikan ketabahannya, menerima batasan masa lalu, memohon maaf dan mengorbankan masa dan tenaganya untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara.”
Untuk itu, Dr Mahathir berkata ia adalah pandangan Anwar.
Beliau berkata isu dakwaan beliau terhadap Anwar pada masa lalu tidak pernah dibangkitkan apabila mereka bekerjasama untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak, di mana Barisan Nasional (BN) ditewaskan Pakatan Harapan pada Mei lalu.
Pada 1998, Mahathir memecat Anwar, yang kemudiannya didakwa dengan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Anwar dijatuhi hukuman 6 tahun penjara kerana rasuah pada 1999, dan penjara 9 tahun untuk tuduhan liwat setahun kemudian. Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan kes dan membebaskannya pada 2004.
Kedua-duanya bertemu buat kali pertama selepas 18 tahun pada September 2016, dan kemudian mengumumkan pakatan mereka untuk menjatuhkan BN.
Dr Mahathir hari ini berkata beliau kesal Anwar dipenjarakan tetapi mengatakan beliau tidak patut dipersalahkan kerana ia diputuskan oleh mahkamah.
Ditanya adakah beliau rasa bersalah, Dr Mahathir berkata:
“Saya rasa kasihan kepada mereka yang melakukan sesuatu dan dihukum penjara.”