SPRM nafi tapi Bernama nakal, kata Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi menyanggah agensi berita Bernama kerana mensensasikan laporan perkembangan perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais hari ini.

Najib berkata editorial Bernama “agak nakal” kerana tajuk “Najib tawar RM3.5j jika mengaku bunuh Kevin Morais: Tertuduh” dan mengingatkan pertama kali namanya dikaitkan dengan pembunuhan timbalan pendakwaraya itu dibuat oleh portal Sarawak Report.

“Pada akhir Mei lalu selepas PRU14, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International mahupun 1MDB.

“Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report,” katanya dalam kenyataan.

Najib kesal dengan tindakan editorial agensi berita nasional itu ketika pasukan propaganda Pakatan Harapan sedang bekerja kuat menanam kebencian terhadapnya.

“Nescaya mereka yang malas membaca akan terus percaya pada tajuk itu semata-mata,” katanya.

Najib seterusnya mengulas kandungan laporan itu dan berkata dakwaan tertuduh ke-7, S Ravi Chandaran, tidak logik sama sekali.

“Terdapat 7 orang dituduh dalam kes pembunuhan ini. Hanya dia tiba-tiba mendakwa saya menawarkan RM3.5 juta melalui seorang pegawai penjara yang tidak dinamakan untuk mengaku membunuh Kevin,” katanya.

Beliau menambah Ravi sebelum ini pernah menuduh 2 orang lain, Datuk Richard Morais, dan seorang lagi tertuduh, Dr R Kunaseegaran, menawarkan jutaan ringgit kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.

Najib juga berkata laporan Sarawak Report yang mengaitkan namanya dengan pembunuhan itu “amat mengarut”.

“Tidak logik bahawa Kevin seorang yang dijadikan mangsa tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?”

Di Mahkamah Tinggi hari ini, Ravi mendakwa dia ditawarkan RM3.5 juta oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengaku bersalah membunuh timbalan pendakwa raya itu.