Umno boikot PRK PD ‘langkah tak betul’, kata Isa

Isa Samad berkata beliau didakwa sebagai pembangkang apabila memilih untuk bertanding dalam PRK Port Dickson.

PORT DICKSON: Calon bebas pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berpendapat tindakan Umno memboikot PRK itu merupakan “satu langkah yang tidak betul”.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Umno sepatutnya meletakkan calonnya dalam PRK Port Dickson kerana ia “kebetulan” sama dengan Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung pada 29 September lalu.

“Sepatutnya kalau Umno bertanding (meletakkan calon) hari itu, hari ini dah ramai orang Umno turun membantu calon untuk melawan kerajaan yang ada sekarang. Kita mesti ingat kita telah menjadi pembangkang.

“Umno pun dah melatih orang menjadi pembangkang, bawa ke Janda Baik dan sebagainya, inilah peluang yang baik untuk kita praktikkan. Tapi tak nak pula sebab tak bersetuju dengan cara dia (PKR) kosongkan jawatan,” katanya kepada FMT.

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding di PRK Port Dickson menentang Anwar. Pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.

Zahid berkata, PRK itu diadakan hanya untuk memenuhi cita-cita politik Anwar dan BN tidak akan menyokong atau mengambil tindakan disiplin terhadap ahlinya yang mahu bertanding menentang presiden PKR itu.

Mengulas lanjut, Isa yang juga merupakan bekas ahli Parlimen Jempol berkata, alasan yang diberikan Zahid itu tidak kukuh dan tidak munasabah.

“Pedulilah, bukan dia salah dari segi peraturan, bukan dia salah dari segi undang-undang dia nak letak jawatan. Tetapi itu dianggap faktor yang menjadikan Umno tak nak bertanding yang saya sendiri tak boleh terima. Itulah (sebab) saya bertanding,” katanya.

Katanya, apabila beliau memilih untuk bertanding dalam PRK Port Dickson terdapat pula dakwaan bahawa beliau pembangkang.

“Tidak, yang saya lawan ini adalah musuh kita, musuh Umno dalam politik. PKR dan juga PAS. Patut mereka arah semua pemimpin Umno di Teluk Kemang menyokong Tan Sri Isa, sepatutnyalah.

“Sebab saya berjuang dengan menentang mereka yang menjadi musuh Umno,” katanya sambil menambah pilihan raya adalah masanya Umno dan BN membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai pelbagai masalah.

Isa juga tidak bersetuju Anwar akan mendapat laluan mudah dengan bertanding di Port Dickson.

“Saya tak fikir dengan mudah, kalau mudah takkan dia beriya-iya berkempen. Kalau kita dalam sukan, kalau kita tahu kita boleh menang mudah, kita (akan) hantar ‘second team’ sahaja. Ini (dia) turun sendiri,” katanya.

PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan 7 penjuru selepas selesai proses penamaan calon pada Sabtu lalu.

Tujuh calon yang akan bertanding membabitkan Isa, Anwar dari PH; Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS); Mohd Saiful Bukhari Azlan (bebas); Lau Seck Yan (bebas); Chan Keng Leong (bebas) dan Kan Chee Yuen (bebas).