1 dalam 5 kanak-kanak Australia jadi mangsa buli siber

AFP pic.

CANBERRA: Seorang daripada 5 kanak-kanak Australia menjadi mangsa buli siber, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Pesuruhjaya e-Keselamatan negara itu, Julie Inman Grant.

Bercakap kepada Kelab Akhbar Kebangsaan pada Rabu, beliau menggesa isu buli siber ditangani menerusi kurikulum sekolah di peringkat nasional kerana keselamatan dalam talian menjadi “antara cabaran utama keibubapaan ketika ini”.

Menurut Xinhua, pejabat pesuruhjaya e-keselamatan meneliti aduan berkaitan penderaan dalam talian sejak 2015 dan mendapati satu daripada 4 laporan membabitkan “ancaman keganasan atau bahaya secara langsung” yang menyasarkan seorang kanak-kanak.

“Purata umur mangsa ialah 14 tahun; kanak-kanak perempuan lebih ramai menjadi mangsa buli dalam talian berbanding lelaki; dan hampir semua penderaan dalam talian berlaku dalam kalangan rakan sebaya serta mempunyai pertalian dengan konflik sosial dalam kawasan sekolah.

“Pengalaman kita menunjukkan aduan berhubung isu buli siber semakin rumit, begitu mendesak dan serius.”

Buli siber menjadi tumpuan ramai awal tahun ini apabila Dolly Everett, 14, dari Wilayah Utara membunuh diri selepas menjadi mangsa buli dalam talian.

Inman Grant berkata, tidak ada “jalan pintas” untuk menangani isu itu, namun pihak sekolah perlu memainkan peranan penting.

“Bagi membantu mencapai perubahan masyarakat ini, kita perlu memperkukuh nilai-nilai penting dalam kalangan kanak-kanak di rumah sambil mengintegrasikan prinsip sama ke dalam kurikulum.

“Bagaimana mungkin kita benar-benar mampu mempersiapkan anak-anak kita menjadi tenaga kerja di masa depan, jika kita tidak mengajar mereka kemahiran dan tingkah laku yang mereka perlukan bagi meneruskan kehidupan di dunia baru dalam talian serba mencabar ini?”

Satu kaji selidik dijalankan pejabat Inman Grant mendedahkan 96% ibu bapa memerlukan “maklumat tambahan dari segi keselamatan dalam talian untuk membantu mereka menguruskan risiko dalam talian yang terdedah kepada anak-anak mereka”.

“Kebimbangan mereka mencakupi pelbagai aspek, termasuk melindungi privasi dalam talian anak-anak mereka dan prihatin dengan semua tanda dan gejala bagi menentukan sama ada anak mereka mengalami sebarang bentuk penderaan dalam talian.”