Bumiputera Sabah mahu Felda pulangkan tanah nenek moyang

Suku Begahak menunjuk perasaan terhadap Felda pada 2015.

KOTA KINABALU: Kaum Dusun suku Begahak di Lahad Datu berang kerana kerajaan negeri dahulu dan sekarang didakwa melayan Bumiputera dengan tidak adil apabila tanah nenek moyang diberi kepada Felda.

Robin Balud, jurucakap komuniti Begahak.

Jurucakap komuniti kecil itu, Robin Balud berkata konflik itu bermula 36 tahun lalu apabila kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) mengurniakan 120,000ha tanah pertanian di Tungku kepada Felda.

“Entah macam mana 2,400ha tanah adat kami termasuk dalam pemberian itu.

“Sedangkan disitulah kami memburu, bercucuk tanam, hidup dan kebumi keturunan kami. Sudah berketurunan kami di situ dan masih ada tanda tanah itu tanah adat kami mengikut Ordinan Tanah Sabah.

“Kami bangunkan tanah ini mengikut gaya hidup kami dan kami sentiasa tahu tanah ini akan terus bersama kami dan keturunan,” katanya.

Suku Begahak adalah kumpulan minoriti dalam kaum Dusun. Mereka hanyalah seramai 2,000 orang dan menetap di kawasan Tungku di Lahad Datu. Mereka mempunyai dialek Dusun tersendiri dan kebanyakan bekerja sebagai petani.

Tanah seluas 2,400ha di Tunku itu menjadi kampung halaman mereka sejak sebelum zaman penjajahan lagi, walaupu dipercayai tanah asal lebih besar kerana suku Begahak lebih ramai ketika itu.

Walaupun sudah dirayu dan bantahan dikemukakan, Balud berkata kerajaan negeri memberikan semua tanah itu kepada Felda, termasuk tanah adat suku itu, dengan geran pajak pada 2013 menerusi Jabatan Tanah dan Ukur.

Beliau berkata jabatan itu sedar akan tuntutan suku Begahak ke atas tanah 2,400ha itu. Balud selaku pengerusi gerakan menuntut tanah itu menghantar surat demi surat memaklumkan pegawai bertanggungjawab.

“Kami menghantar surat kepada mereka setiap bulan sejak 2012. Kami menggesa penolong pengutip hasil tanah (PPHT) di Lahad Datu turun pandang dan melawat kami agar dia boleh tentukan merit tuntutan kami.

“Kami mahu hak milik tanah yang dicadangkan untuk Felda itu tidak bertindih dengan tanah adat kami. Sepatutnya PPHT melihat tanah yang kami mahukan itu sebelum mengeluarkan hak milik tanah,” katanya.

Malangnya bagi Balud dan komuniti kecil itu, PPHT tidak pernah menjalankan siasatan walaupun dirayu berulangkali. Menurut beliau, PPHT mendapat tahu tentang maklumat tanah itu daripada Felda.

Balud mendakwa PPHT ketika itu melanggar Ordinan Tanah Sabah kerana mengabaikan permintaan komuniti itu.

Selain itu, beliau berkata PPHT juga gagal mengeluarkan notis cadangan hak milik tanah itu seperti yang ditetapkan undang-undang untuk memberi peluang kepada orang ramai mencabar permohonan tanah itu.

“Mengapa PPHT memohon laporan tanah daripada Felda? Itu seolah-olah Felda berkuasa ke atas tanah itu dan bukannya PPHT.

“Sememangnya, Felda mahu semua tanah itu, termasuk tanah adat kami. Dalam hal ini, kerajaan negeri gagal menjalankan tanggungjawab menjaga Bumiputera,” katanya.

Balud dan komunitinya bermesyuarat dengan Felda sejak 2013 untuk mendapatkan semula tanah mereka tetapi diberitahu hal itu terserah kepada kerajaan negeri.

Menurut beliau, Felda sedia mengasingkan tanah adat suku Begahad daripada hak milik tanahnya.

“Masalah ini sudah berlarutan cukup lama. Kami sudah membuktikan PPHT itu melakukan kesilapan apabila menyerahkan hak milik tanah kepada Felda tanpa mengikut prosedur ordinan tanah.

“Saya akan terus menghantar surat walaupun saya diberi amaran oleh pegawai jabatan untuk tidak mengirim surat pertanyaan lagi atau surat itu akan dibuang ke dalam tong sampah.

“Saya tak mahu bersikap prejudis tetapi saya bimbang kerana pegawai bertanggungjawab ke atas kes itu asyik bertukar-tukar. Saya sudah tua dan tak tahu berapa lama lagi saya boleh terus berjuang.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri akan menunaikan janji pilihan raya iaitu menjaga kaum-kaum Bumiputera dengan mengkaji semula masalah dan memberi kami hak-hak kami.”