Kastam cadang penalti RM100,000, sebat jika jual arak tiruan, rokok seludup

Ketua Pengarah Kastam, T Subromaniam (2 dari kanan) menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media.

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan kadar penalti kepada RM100,000 minimum bagi penjualan arak tiruan dan rokok seludup.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam berkata, selain daripada penalti, pihaknya turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan hukuman sebatan.

“Apa yang kita cadangkan kepada kerajaan adalah satu amaun yang akan menjadi (menghalang mereka lakukan kesalahan) iaitu RM100,000 minimum.

“Walaupun premis itu menjual 1 katon rokok atau 1 botol arak, kita juga mengesyorkan kepada kerajaan sebatan sekali,” katanya pada sidang medianya sempena kejayaan Ops Gempur Kastam mematahkan sindiket pemprosesan arak tiruan, hari ini.

Subromaniam berkata pindaan kadar penalti itu melibatkan Akta Kastam 1967 dan memerlukan kelulusan Parlimen.

“Sekiranya pindaan ini diluluskan maka kita percaya kedai-kedai yang menjual rokok haram atau arak haram atau tiruan, akan dapat sekurang-kurangnya dikawal.

“Sebab tindakan hukuman yang begitu besar sekali. Tak berbaloi kata orang, jadi hentikan sekarang,” katanya.

Menurutnya, kadar penalti untuk penyeludupan pada masa ini sekiranya didakwa di mahkamah akan dikenakan minimum 10 kali nilai denda.

“Kalau 1 katon rokok 10 kali ganda pun berapa sangat? Sindiket akan bayar. 5 katon rokok pun setakat RM2,000 ke RM3,000 semua orang boleh bayar. Besok kena RM100,000 siapa nak bayar?”

Beliau menambah, pihaknya masih lagi menunggu cadangan ini dibawakan ke Parlimen.

“Dah lama kita cadangkan tapi ini antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan untuk membendung kegiatan penyeludupan, satu lagi aktiviti haram ini,” katanya.

Dalam sidang media itu juga, Subromaniam berkata pihaknya melancarkan Ops Gempur bermula 21 September lalu di seluruh negara bagi mengenalpasti pengedar dan pengilang yang memproses minuman keras tiruan yang menjadi penyebab keracunan arak.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,063 serbuan ke atas premis dibuat dan hasil operasi berkenaan, sebanyak 17,374 liter minuman keras dirampas.

Katanya, pada 28 September lalu, pihaknya juga berjaya mematahkan satu sindiket pemprosesan arak tiruan di mana serbuan dilakukan di sebuah kilang di Cheras, Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan tersebut mendapati premis terbabit merupakan tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama seperti Mandalay, Club 99, Grand Royal dan lain-lain jenama berdasarkan kepada penemuan botol-botol dan pelekat, alat-alat pembotolan arak serta bahan-bahan memproses arak tiruan.”