Kastam: Jangan kaitkan SST dengan kenaikan harga barang

T Subromaniam (tengah) berkata, faktor lain yang mempengaruhi harga barang termasuk musim, permintaan dan bekalan serta kadar tukaran mata wang. (Gambar Bernama)

SEPANG: Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam menggesa rakyat tidak mengaitkan kenaikan harga barang dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, cukai hanya satu komponen kecil dan ada faktor lain yang mempengaruhi serta menentukan harga barang.

“(Faktor itu termasuk) permintaan dan bekalan, kadar pertukaran mata wang, faktor musim dan putaran semasa barang itu sendiri,” katanya sempena kejayaan Ops Gempur Kastam mematahkan sindiket pemprosesan arak tiruan hari ini.

Kerajaan memperkenalkan semula SST untuk menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 September lalu.

Di bawah SST, 10% dikenakan untuk cukai jualan, manakala 6% bagi cukai perkhidmatan.

Subromaniam berkata, pihaknya tidak berdepan masalah besar selepas sebulan pelaksanaan SST.

“Yang memeranjatkan kita, kebanyakan syarikat yang didaftarkan di bawah SST memberikan kerjasama sebab mereka sebelum ini pernah didaftarkan di bawah SST 1.0.

“Tak ada masalah, kecuali ada 1 atau 2 perkhidmatan yang baru.”

Beliau berkata, pihaknya mengadakan Ops Bimbing dengan melawat setiap syarikat yang didaftarkan di bawah SST bagi memberi penjelasan berhubung sistem cukai itu.

“(Mereka) datang ke pejabat kita dan juga kita membuat jelajah bersama menteri kewangan.

“Kita akan beri panduan, penjelasan, nasihat untuk memastikan mereka benar-benar faham tanggungjawab mereka sebab hujung bulan ini dah ada yang akan hantar penyata dan bayar.”