Keracunan alkohol: 3 warga asing ditahan edar arak tiruan

Samsor Maarof menunjukkan pelbagai jenis arak tiruan dalam tin dan botol dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga India ditahan kerana disyaki mengedar arak tiruan murah kepada peruncit di sekitar Selayang dan Desa Jaya, berikutan kematian 6 lelaki warga Myanmar baru-baru ini kerana keracunan metanol.

Semua suspek ditahan di rumah sewa mereka di Taman Bukit Desa, di sini, pada 2.45 awal pagi tadi dalam op metanol.

Ketua Polis Daerah Gombak, Samsor Maarof berkata, semua suspek berumur 30-an itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan bergiat aktif dalam kegiatan itu selama 6 bulan di negara ini.

“Polis rampas 870 botol minuman keras dan 271 tin minuman keras dan kami menjangkakan akan ada rampasan (minuman keras) lagi,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Samsor berkata, semua suspek direman 4 hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi ini bagi membanteras jenayah penjualan arak murah di sekitar Gombak.

Ditanya sekiranya ada kematian terbaru berhubung kes keracunan metanol di Gombak, Samsor berkata, tiada setakat ini.

Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, 59 kes dilaporkan di Selangor membabitkan 27 kematian, dengan 2 kematian lagi dilaporkan di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.