Lokman pakai pakaian jingga SPRM untuk Rosmah

PUTRAJAYA: Ahli majlis tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam turun ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan pakaian jingga seakan pakaian lokap agensi anti-rasuah itu.

Beliau bersama kira-kira 30 orang lain berhimpun sebagai tanda solidariti untuk isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang ditahan SPRM petang tadi.

Selain Lokman, beberapa penunjuk perasaan tampil memakai pakaian jingga yang sama.

Sebelum ini, SPRM berkata Rosmah ditahan pada 3.20 petang tadi selepas disoal siasat hampir 5 jam dan Jabatan Peguam Negara bersetuju mendakwanya.

SPRM berkata Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 8.00 pagi esok dan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfa).