Mahkamah akan dengar permohonan kaji keputusan gugur kes rasuah Guan Eng

Muhsin Abdul Latheef (tengah) bersama pensyarah undang-undang, Shamsher Singh Thind (kiri) dan Pengerusi Penang Front Party, Patrick Ooi.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan difailkan pengendali laman Facebook, Muhsin Abdul Latheef untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang tidak diteruskan baru-baru ini.

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu, selepas Muhsin yang lebih dikenali dengan gelaran “Mamu Parpu” selaku pemohon dalam kes itu memaklumkan peguamnya, Gunamalar Joorindajn tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.

“Pemohon baru menghantar surat kepada mahkamah menjelaskan tarikh pendengaran hari ini tidak sesuai dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru selepas 9 Oktober ini.

“Kalau ikutkan, saya boleh buang permohonan ini dalam tempoh 5 minit sahaja dan tidak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Bagaimanapun, pemohon telah mengemukakan surat baru yang kandungan tidak sama seperti sebelum ini.

“Jika mahkamah tidak memberi penangguhan nanti akan timbul isu dan kata mahkamah tidak adil kerana tidak berbuat demikian. Justeru, mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan ini dan kes akan tetap berjalan, sekiranya peguam gagal hadir.”

Pada pertengahan September lalu, Muhsin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapat perintah yang keputusan itu perlu dikaji semula dan diketepikan atau diubah serta digantikan perintah Lim dan Phang dilepas tanpa dibebaskan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonan itu, Muhsin menamakan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama, Lim sebagai responden ke-2 dan Phang responden ke-3.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini membebas tanpa dilepaskan Lim yang kini menteri kewangan dan Phang daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan peguam Datuk V Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hakim yang turut mendengar kes rasuah itu tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dibebas tanpa dilepaskan (DNAA).

Muhsin ialah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam kes rasuah itu.

Sementara itu, Ramkarpal dan Sithambaran yang mewakili Phang memaklumkan pemberita di luar mahkamah, pihaknya bersedia dengan hujahan bantahan awal bagi permohonan itu.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.