Mengapa saya jadi sasaran, Najib soal SPR

SPR didakwa membuat laporan polis selepas Najib Razak berkempen pada hari pengundian PRK Sungai Kandis.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat penjelasan selepas beliau dijadikan sasaran dalam penyiasatan kesalahan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Semalam, Bersih berkata bukan mereka yang pilih kasih melaporkan saya kepada pihak polis kerana saya didakwa melakukan kesalahan memuat naik satu hantaran di Facebook pada pukul 7.00 pagi hari mengundi PRK Sungai Kandis walaupun saya bukan calon pun.

“Bersih menjelaskan pihak SPR yang membuat laporan polis terhadap saya walaupun Bersih menghantar senarai kesalahan yang juga mengandungi kesalahan yang agak berat dari pihak PKR termasuk calon PKR sendiri,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, Najib berkata dia dipanggil polis untuk diambil keterangan kerana satu catatan Facebook yang dimuat naik pada hari pengundian PRK Sungai Kandis. Catatan itu didakwa menyalahi Akta Pilihan Raya.

Semalam, Bersih 2.0 menjawab pertanyaan Najib sama ada ia sudah membuat laporan polis tentang kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni seperti laporan polis terhadapnya.

Pemantau pilihan raya itu menjelaskan mereka tidak membuat laporan polis terhadap Najib kerana berkempen pada hari pengundian tetapi kepada SPR, yang membuat laporan polis tentang perkara itu.

“Terserah kepada SPR untuk mempertimbangkan langkah-langkah sewajarnya selaku institusi yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap kesalahan pilihan raya,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata ini bermakna Bersih lepas tangan dan menuduh SPR sebagai pihak yang pilih kasih kerana membuat laporan polis terhadapnya tetapi tidak terhadap PKR dan calonnya.

“Saya ingin tahu apa penjelasan pihak SPR kerana sebagai pihak yang patut berlaku adil, tuduhan Bersih terhadap mereka ini, adalah amat serius,” katanya.

Sementara itu, sumber SPR berkata, pihaknya akan memberi penjelasan jika Najib membuat laporan atau aduan secara rasmi kepada agensi itu.

“Kita belum menerima sebarang komunikasi rasmi, maksudnya secara bertulis daripada bekas perdana menteri kita.

“Kalau ada, kita akan buat apa yang patut.

“Kita hanya akan komen jika bekas perdana menteri menulis secara rasmi kepada SPR, kenyataan dari Facebook itu bukan komunikasi rasmi,” katanya ketika dihubungi FMT.