Najib disoal siasat polis 3 jam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di Jalan Tun Razak, selepas disoal siasat selama 3 jam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengesahkan bekas perdana menteri itu meninggalkan Menara KPJ melalui pintu alternatif.

“Tadi dia sampai jam 9.40 pagi, diambil keterangan bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya yang hadir memberi sokongan kepada Najib sejak pagi tadi.

Najib memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1MDB pada 27 dan 30 Ogos serta 20 September lalu.

Najib berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi tadi, 5 hari selepas disoal siasat selama 13 jam berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1MDB.

Rosmah tidak berdepan sebarang pertuduhan, walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata, siasatan ke atasnya sudah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara.