Najib, Rosmah dipanggil lagi berhubung 1MDB

Rosmah yang berbaju kurung dan berselendang hijau tiba di ibu pejabat SPRM hari ini untuk disoal siasat buat kali ke-3.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disoal siasat polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di 2 lokasi berasingan hari ini.

Najib tiba di Menara KPJ di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang menempatkan ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pada 9.40 pagi.

Rosmah pula tiba jam 10.42 pagi di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, seminggu selepas disoal siasat selama 13 jam berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1MDB.

Peguam Rosmah, Datuk K Kumaraendran tiba pada 10.05 pagi.

Difahamkam, Najib hadir memberi keterangan berkaitan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Najib sebelum ini pernah hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1MDB pada 27 dan 30 Ogos serta 20 September.

Turut hadir memberi sokongan kepada Najib adalah penyokongnya yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam dan kira-kira 30 penyokong.

Sementara, Rosmah pula dipanggil untuk disoal siasat kali ke-3 oleh agensi anti-rasuah itu, sesi pertama pada 5 Jun dan sesi ke-2 pada 26 September lalu untuk membantu siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International.

Rosmah pula tidak menghadapi sebarang pertuduhan, walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata, siasatan ke atasnya sudah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara.