Najib salah guna kuasa untuk rompak negara, kata Dr M

Najib Razak setakat ini berdepan 21 pertuduhan di mahkamah.

KUALA LUMPUR: Sistem pentadbiran Malaysia disalahgunakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan kuasanya untuk merompak negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sistem itu mungkin sama tetapi pemimpin itu berbeza, sistem berkenaan digunakan oleh 5 perdana menteri sebelum ini dan tiada pertuduhan rasuah berskala itu terhadap semua 4 pemimpin tersebut.

“Tetapi sistem itu disalahgunakan. Apa yang dilakukannya ialah menggunakan kuasa untuk mencuri wang,” kata Dr Mahathir pada program Hardtalk BBC semasa wawancara di London. Program selama 20 minit itu disiarkan hari ini.

Bercakap kepada peneraju program berkenaan, Zeinab Badawi, perdana menteri berkata terserah pada mahkamah untuk memutuskan pertuduhan terhadap Najib.

Najib kini berdepan 21 pertuduhan, dengan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion, dan 4 pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana daripada 1MDB yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Pada Ogos lepas, Najib menghadapi 4 pertuduhan berkaitan salahguna kuasa dan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

“Kini cukup bagi kami mengenakan pertuduhan terhadap beliau dan terpulang kepada mahkamah menentukan sama ada bukti kami betul atau penafiannya betul,” kata Dr Mahathir.

Semasa wawancara itu, Zeinab mengajukan beberapa soalan berat mengenai keputusannya kembali memegang jawatan perdana menteri dan bekerja dengan parti pembangkang ketika itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas dan hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan afirmatif, memerangi rasuah dan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berada di United Kingdom untuk lawatan kerja siri ke-2 dari 29 Sept hingga 1 Okt, selepas menghadiri sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Lawatan kerja siri pertama ke United Kingdom berlangsung dari 21 hingga 25 Sept.