Pegawai kerajaan jangan salah guna kuasa, pesan Anwar

Anwar Ibrahim mahu pilihan raya bersih dan adil.

PORT DICKSON: Calon PKR Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi memberi amaran mengenai salah guna kuasa oleh pegawai kerajaan, mengulangi janjinya untuk pilihan raya bersih dan adil tanpa bantuan daripada jentera kerajaan.

“Ketika saya menjadi timbalan perdana menteri dan ingin mendaftar anak perempuan saya ke sekolah, saya tidak menggunakan kenderaan kerajaan.

“Saya membawa kereta sendiri. Tetapi pengiring saya mahu ikut dan saya tidak dapat menolak. Jadi, saya nak ingatkan mereka yang berada dalam kerajaan sekarang (jangan menyalahgunakan kuasa mereka sebagai menteri),” kata Anwar kepada kira-kira 150 penduduk di Teluk Kemang.

Beliau berkata ketika anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar ditawarkan biasiswa, beliau menolaknya, mengatakan beliau akan membayar sendiri yuran pengajian tersebut.

“Walaupun Izzah mempunyai markah yang baik dan memenuhi syarat untuk mendapatkan biasiswa, saya merasakan ada pelajar lain yang mungkin tidak dapat melanjutkan pengajian kerana mereka tidak mempunyai wang.

“Saya tidak mengambil biasiswa untuk Izzah kerana ini bermakna menafikan hak orang lain yang tidak mampu menghantar anak mereka untuk melanjutkan pelajaran.”

Beliau juga memberi contoh isterinya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang menghadiri beberapa ceramahnya di Port Dickson.

“Sebab itulah sekarang ini, walaupun dia berada di sini, dia tidak mengumumkan projek. Kita mahu pilihan raya kecil yang bersih dan adil.”

Pilihan raya kecil Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober yang akan disaingi 6 calon lain termasuk bekas pemimpin Umno, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu politik Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.