Pemuda Umno Sabah tiada masalah PBRS dalam BN

Abdul Aziz Julkarnain.

KOTA KINABALU: Umno Sabah tiada masalah jika Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal bersama Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu pernah mengumumkan hasrat meninggalkan gabungan itu.

Ketua Pemuda Abdul Aziz Julkarnain berkata Umno menerima semua pihak yang mahu bekerjasama menjadikan BN blok pembangkang yang kuat.

Beliau juga tidak melihat PBRS cuba mengambil kesempatan, seperti yang dikatakan pengguna media sosial susulan laporan Ahad lepas.

“Kami terbuka kepada mana-mana parti yang mempunyai perjuangan yang sama seperti Umno. Kita perlu faham dinamik politik negara berbeza sekarang.

“Kita tak pernah terfikir Lim Kit Siang boleh bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Dr Mahathir bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata partinya tidak pernah secara rasmi meninggalkan BN dan buat masa sekarang akan terus menjadi parti komponen gabungan itu.

Beliau berkata hanya Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) menyerahkan surat rasmi meninggalkan gabungan itu selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Bekas menteri persekutuan itu pada 12 Mei lalu mengumumkan PBRS membuat keputusan untuk meninggalkan BN.

Beliau berkata parti itu memohon untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan ia dapat memenuhi janji kepada rakyat.

“Kami menulis kepada pimpinan tertinggi PH dan mereka mengesahkan ada menerima surat kami tetapi belum ada respon,” kata Kurup.

“Pengerusi PH Sabah Christina Liew sebelum ini ada peluang PBRS diterima masuk PH ‘sangat kecil’. Jadi lebih baik kami bersama BN dan lihat apa yang berlaku.”

Aziz mendakwa keputusan Kurup untuk bersama BN itu ada kaitan dengan kekurangan di pihak kerajaan baharu.

“Mungkin pada ketika itu dia ada sebab-sebab tersendiri untuk menyokong PH tetapi berubah fikiran selepas melihat apa yang sudah mereka lakukan, terutama semua janji manifesto yang tidak ditunaikan.

“Kami sedar Kurup sentiasa memperjuangkan hak Sabah dan juga perkara-perkara berkenaan Perjanjian Malaysia 1963, yang sebelum ini diambil kerajaan persekutuan.”