Pindaan Auku: Aktivis pelajar dakwa masih berlaku pemusatan kuasa

Adam Adli Abd Halim berkata pemusatan kuasa akan menimbulkan masalah kepada mahasiswa pada masa depan.

PETALING JAYA: Seorang Aktivis pelajar menyambut baik pengumuman beberapa pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), namun mendakwa masih berlaku pemusatan kuasa ke atas universiti melalui kementerian.

Adam Adli Abd Halim berkata, pindaan itu akan menjamin kebebasan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, bagaimanapun ia akan menimbulkan masalah pada masa depan kerana masih berlakunya pemusatan kuasa ke atas universiti.

“(Cadangan) pindaan ini telah berlaku pada 2012 semasa Datuk Saifuddin Abdullah (menjadi timbalan menteri pendidikan) yang menggariskan pelajar akhirnya boleh menyertai parti politik dan sebagainya.

“Tapi ia tetap akan menimbulkan masalah yang sama pada masa hadapan iaitu pemusatan kuasa ke atas universiti, autonomi-autonomi universiti ini tidak dapat dipulangkan sepenuhnya dan masih banyak campur tangan dari kerajaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Adam berkata pemusatan kuasa itu seharusnya tidak diberi kepada kementerian kerana universiti bukan seperti sekolah yang mempunyai silibus.

“Sebab itu pemansuhan Auku perlu diadakan. Saya tak tahu apa alasan untuk pemansuhan Auku ini ditangguhkan sehingga 5 tahun akan datang, malah tak ada kata putus yang betul-betul kata 5 tahun ini tak (akan) ada lagi Auku,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan beberapa pindaan terhadap Auku akan berlaku bagi membuka kekangan ke atas kebebasan pelajar.

Selepas perbincangan selama hampir 2 jam dengan wakil kumpulan mahasiswa, Maszlee berkata pindaan akan dilakukan terhadap “beberapa seksyen-seksyen dalam Auku” dan undang-undang lain.

Maszlee menambah pihaknya akan membawa pindaan Auku itu pada persidangan Parlimen akan datang.