Polis Perancis serbu pusat Syiah dalam siasatan anti-keganasan

Sumber diplomatik Perancis berkata, serbuan ke atas Pusat Zahra Perancis bertujuan menunjukkan Paris tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan Syiah radikal. (Gambar AFP)

LILLE: Polis menyerbu sebuah pusat Syiah di Perancis yang didakwa ada kaitan dengan pertubuhan pengganas dan menahan 3 pemimpinnya kerana memiliki senjata tanpa lesen, pada Selasa.

Perancis yang mempunyai komuniti Islam terbesar di Eropah, kekal dalam keadaan berjaga-jaga selepas serangan militan dan kumpulan radikal yang mengorbankan hampir 250 orang.

Negara itu turut mendakwa Tehran merancang serangan bom dalam satu perhimpunan pembangkang di Paris, awal tahun ini.

Kira-kira 200 anggota polis, termasuk pasukan elit dari Paris menyertai serbuan awal pagi itu di Pusat Zahra Perancis dan kediaman berpuluh-puluh pengikutnya di Grande-Synthe, dekat bandar Dunkirk.

“Ini adalah operasi anti-keganasan,” kata seorang pegawai tempatan dalam satu kenyataan.

“Aktiviti Pusat Zahra Perancis di bawah pengawasan ketat kerana sokongan ketara pemimpinnya ke atas beberapa organisasi dan pergerakan pengganas yang menyokong idea bertentangan nilai republikan (Perancis).”

Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb berkata, 3 individu ditahan susulan penemuan senjata haram dan sebuah bilik solat ditutup.

Serbuan itu serentak dengan pengumuman Perancis merampas aset milik perkhidmatan risikan Iran dan 2 warga Iran berhubung rancangan menyerang satu perhimpunan anjuran sebuah kumpulan pembangkang Iran di luar Paris, Jun lalu.

Menurut sumber, tiada kaitan langsung antara serbuan itu dan rampasan aset risikan Iran.

Bagaimanapun, sumber diplomatik Perancis berkata, walaupun 2 insiden itu tiada kaitan, serbuan ke atas Pusat Zahra Perancis bertujuan menunjukkan Paris tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan Syiah radikal.

“Ia tiada kaitan…tetapi kami tidak akan terima sebarang bentuk keganasan atau hasutan keganasan di negara kita,” kata sumber itu.

“Pusat Zahra bukan entiti Iran yang rasmi, tetapi ia sebuah pusat penyebaran mesej Syiah dan radikal, termasuk merapatkan pergerakan yang kita tidak terima…ia adalah pusat penyebaran Syiah.”

Aset Pusat Zahra turut dibekukan bersama aset kewangan di bawah nama lain atas arahan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan Perancis, menurut notis disiarkan jurnal rasmi kerajaan.

Laman web pusat itu berkata, ia mempunyai kira-kira 8,000 “pengikut” dalam rangkaian sosial dan matlamatnya ialah menyebarkan mesej Islam melalui filem, radio, penulisan dan persidangan.

Serama 5 juta daripada 67 juta penduduk Perancis beragama Islam.