Rasuah: Bekas CEO mengaku tak bersalah terima RM20,000

SHAH ALAM: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkakasan dan peralatan komputer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM20,000 daripada seorang individu, 3 tahun lalu.

Azizul Fikri Ab Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di depan hakim Mohd Sabri Ismail.

Lelaki itu didakwa menerima suapan tersebut melalui akaun Maybank miliknya sebagai upah untuk meluluskan tuntutan komisen bagi projek Pusat Siber Rakan Muda Zon Sarawak berjumlah RM45,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Kinrara dekat sini, kira-kira 4.36 petang pada 14 September 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Azizul Fikri boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Sabri membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin, selain pasportnya diserah kepada mahkamah dan 2 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Hazirah Azeman dan tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.