‘Rindu sangat pada ibu,’ kata terakhir mangsa gempa Sulawesi

Gambar Bernama.

MAKASSAR: “Ibu, jangan lupa pulang tahun ini ya, Andi rindu sangat pada ibu,” antara perbualan video terakhir Siti Salwa Herento, 28, bersama anak lelaki tunggalnya, Andi, 4, sehari sebelum berlakunya gempa bermagnitud 7.5 skala Richter dan tsunami di Kota Palu pada Jumaat lepas.

Kalimah yang diungkap kanak-kanak itu terus bermain difikiran Siti Salwa apabila mengetahui anaknya sudah meninggal dunia.

“Andi seorang yang periang dan manja seperti kanak-kanak yang lain tetapi hari terakhir saya menghubunginya itu, dia seolah-olah seperti ingin meluahkan sesuatu yang sukar diungkap.

“Mungkin itulah petanda dia akan meninggalkan saya selamanya…saya redha dengan apa yang berlaku, namun, sedikit terkilan kerana saya tidak ada bersamanya ketika dia sangat memerlukan,” katanya yang mula sebak sambil menambah kali terakhir dia bertemu anaknya pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Siti Salwa ditemui semalam semasa menunggu pesawat yang sama dinaiki kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Makassar, di balai pelepasan domestik Lapangan Terbang Internasional Sukarno-Hatta di Jakarta.

“Setahun lebih saya tidak balik ke kampung kerana sibuk mengumpulkan wang demi Andi…tapi sekarang duit yang banyak pun tiada gunanya kerana Andi sudah tiada,” katanya.

Dia menambah ketika kejadian, dia sedang bertugas di sebuah kilang di Petaling Jaya, Selangor sebelum dimaklumkan rakan bahawa kampung halaman di daerah Petobo, Kota Palu musnah dilanda gempa.

“Sejurus dimaklumkan rakan sekerja di Malaysia, saya terus cuba menghubungi mereka pada hari kejadian, tetapi tidak berjaya.

“Namun, 2 hari selepas itu saya dimaklumkan keluarga yang berada di sini (Makassar), semua ahli keluarga saya iaitu ibu bapa serta 3 adik lelaki dan Andi maut tertimbus runtuhan bangunan,” katanya.

Setakat petang semalam, berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa yang disahkan terkorban ialah 1,234 orang.

Korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri mencecah ribuan mangsa. Lebih 30,000 penduduk terkesan teruk akibat gempa dan tsunami Jumaat lepas dan dilaporkan bermalam di jalanan serta mengalami trauma berikutan lebih 250 gempa susulan masih berlaku di Sulawesi Tengah.