Rosmah ditahan SPRM, akan didakwa esok

PUTRAJAYA: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dalam siasatan pengubahan wang haram.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Rosmah ditahan pada 3.20 petang tadi, selepas disoal siasat hampir 5 jam dan Jabatan Peguam Negara bersetuju mendakwanya.

SPRM berkata, Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 8 pagi esok dan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguamnya, Datuk K Kumaraendran berkata, pihaknya belum dimaklumkan butiran pertuduhan ke atas Rosmah.

“Kita tidak boleh beritahu anda lagi. Dia ditahan selepas beri kenyataan.

“Kami tidak dimaklumkan apa-apa. Beliau akan hadir di mahkamah esok,” katanya di ibu pejabat SPRM.

Ini kali ke-3 Rosmah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, selepas disoal siasat selama 13 jam berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1MDB, seminggu lalu.

Kali pertama Rosmah dipanggil SPRM ialah 5 Jun, disusuli 26 September lalu untuk membantu siasatan ke atas SRC International.

Suaminya, Datuk Seri Najib Razak kini berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.