Selangor teliti laporan banjir kilat

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan meneliti laporan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu sejak beberapa hari lepas untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ia termasuklah menyemak semula aspek penyelenggaraan di kawasan terlibat.

“Laporan ini akan diteliti dan dibincangkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang ini. Saya akan lihat laporan kerana kadang kala ia disebabkan taburan hujan yang tinggi. Bagaimanapun setakat ini semuanya terkawal.

“Untuk kejadian ribut di Klang pula, walaupun ribut agak keras 2 hari lepas namun pasukan kita terutamanya Majlis Perbandaran Klang bergerak pantas untuk atasi bencana yang melanda kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pro Canselor Universiti Selangor hari ini.

Semalam, hujan yang sangat lebat lebih 2 jam sejak 4.00 petang mengakibatkan banjir kilat di KM 23.4-KM 24 arah selatan berdekatan IOI Mall di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Bandar Puteri Puchong.

Pada Isnin pula, angin kencang berserta hujan lebat lebih 2 jam di beberapa kawasan di Klang mengakibatkan kerosakan teruk kepada sejumlah kenderaan, kemudahan awam dan bangunan.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan 86 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke 3 pusat pemindahan sekitar Klang sejak semalam susulan kerosakan pada kediaman mereka.