Senator PKR belum boleh dilantik penasihat, kata MB Perak

Ahmad Faizal Azumu. (Gambar Bernama)

IPOH: Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengesahkan pelantikan Senator Siti Aishah Shaik Ismail sebagai penasihat khas menteri besar bertaraf exco masih tertangguh.

Belia berkata beberapa perkara dan pandangan perlu diambil kira berhubung perlantikan itu termasuk mengelak terlalu ramai pelantikan penasihat menteri besar bertaraf exco.

“Kita memerlukan sedikit masa bagi memastikan kedudukan yang paling sesuai untuk beliau dalam pentadbiran yang ada sekarang ini.

“Kita tidak boleh melantik terlalu ramai penasihat bertaraf exco, ini membabitkan peruntukkan kerajaan dari segi faedah dan seumpamanya. Jika semua dalam parti Pakatan Harapan desak untuk dapat jawatan besar ini ianya akan menyulitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran selama sejam menerusi Slot Sepagi Bersama MB di PerakFM di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak hari ini.

Faizal secara peribadi ingin mengekalkan keputusan untuk melantik Siti Aishah memegang jawatan melibatkan belia kerana kebolehannya sebagai pemimpin muda.

“Beliau seorang yang ada kebolehan sebagai seorang pemimpin muda dan kita perlu pupuk pemimpin seperti ini supaya menjadi pemimpin yang lebih besar dan bersedia diberi tanggungjawab nanti.

“Walaupun beliau tiada peranan rasmi sekarang ini tetapi sebenarnya beliau mempunyai peranan besar dalam membantu saya sendiri sebagai menteri besar dan juga kepimpinan PH negeri perak,” katanya.

Julai lalu, Faizal mengumumkan pelantikan Siti Aishah sebagai penasihat khas kepada menteri Besar dengan taraf exco.